NUR Amirah Alya membersihkan kenderaannya yang diparkir dalam kawasan Pangsapuri Perdana. FOTO Ihsan Nur Amirah Alya Mohd Tajuddin
NUR Amirah Alya membersihkan kenderaannya yang diparkir dalam kawasan Pangsapuri Perdana. FOTO Ihsan Nur Amirah Alya Mohd Tajuddin
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Hanya jeritan 'banjir' dan 'alihkan kenderaan' menyedarkan penghuni Pangsapuri Perdana, Seksyen 13 di sini, bahawa kawasan itu dilanda banjir semalam.

Bagaimanapun, bukan semua penduduk itu sempat memindahkan kenderaan ke tempat selamat apatah lagi, air naik mendadak susulan hujan lebat.

Akibatnya ada yang terpaksa reda melihat kereta tenggelam dan hanya mengambil tindakan lanjut, hari ini termasuk menggunakan trak tunda bagi menghantar kenderaan ke bengkel.

Seorang penduduk, Nur Amirah Alya Mohd Tajuddin, 27, berkata, ketika mendengar jeritan, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana air sudah memasuki kenderaannya.

"Hujan bermula kira-kira 4.30 petang dan dalam sejam banjir kilat terjadi. Saya tahu sebab penghuni di tingkat bawah menjerit banjir.

"Sejak tahun 2019 tinggal di sini, kawasan ini mudah berlaku banjir tetapi tidak seteruk semalam hingga kereta pun tenggelam.

"Kereta saya diletakkan dalam kawasan pangsapuri pun tenggelam, air masuk ke bonet, mereka yang letak kenderaan di luar lebih teruk lagi," katanya ketika ditemui.

Nur Amirah Alya berkata, dia juga mendapatkan khidmat trak tunda untuk menghantar keretanya ke bengkel disebabkan bimbang kerosakan lebih teruk.

Rakan wanita itu, Asmira Mokhsen, 27, berkata, pertama kali berhadapan bencana itu sejak menghuni pangsapuri berkenaan tiga tahun lalu.

"Kalau ikutkan, dua tiga jam hujan memang akan banjir tetapi air hanya setakat perhentian bas. Tidak sangka semalam, dalam masa singkat air naik hingga menenggelamkan kenderaan kami di sini," katanya yang turut berhasrat menghantar keretanya ke bengkel kerana kekotoran teruk.

Kedua-duanya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan penyelesaian jangka panjang yang dapat menangani masalah banjir di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 9:09 PM