Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Tujuh individu dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kota Persiaran Southkey, di sini.

Serbuan dijalankan pada 10.15 malam Khamis lalu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemeriksaan awal mendapati kediaman itu dijadikan pusat panggilan untuk menawarkan perjudian dalam talian.

Menurutnya, mereka juga menyasarkan pelanggan warga tempatan menerusi dua laman sesawang iaitu www.topup99.com dan www.lagiong.com.

"Sindiket ini mempunyai kira-kira 7,000 pelanggan dengan kutipan harian antara RM15,000 hingga RM20,000, malah premis terbabit sudah beroperasi sejak Jun lalu.

"Kesemua suspek berusia 18 hingga 34 tahun berperanan sebagai operator tambah nilai kredit dan cuci kredit, selain berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi dalam talian.

"Segala transaksi melalui 'online banking' dari beberapa akaun yang dikenal pasti dan mereka dibayar gaji RM2,000 sebulan selain diberi komisyen sebanyak satu peratus," katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan 28 individu berusia 18 hingga 34 tahun dalam lima serbuan Op Dadu dari 1 Ogos hingga Sabtu lalu.

"Sebanyak lima kertas siasatan dibuka dan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor bagi mendapatkan arahan pertuduhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 3:49 PM
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan barang rampasan perjudian atas talian pada sidang media di IPK Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan barang rampasan perjudian atas talian pada sidang media di IPK Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI