Omar (dua kiri) memeriksa barang rampasan. FOTO Juwan Riduan
Omar (dua kiri) memeriksa barang rampasan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


POLIS menumpaskan sindiket perjudian dalam talian didalangi warga China yang menjadikan bangunan bekas sebuah kolej sebagai pusat operasi di Luyang di Kota Kinabalu, kelmarin.

Serbuan 11.30 malam itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil serbuan pihaknya menahan 13 warga China termasuk seorang wanita.

"Tiga lelaki warga China ditahan ketika duduk di meja menghadap komputer riba dipercayai membuat kerja-kerja perjudian dalam talian.

"Pemeriksaan selanjutnya di tingkat satu bangunan itu turut menahan 10 orang lagi termasuk seorang wanita," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Omar berkata, hasil pemeriksaan merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian.

"Antara yang dirampas iaitu 38 telefon pintar, tujuh komputer riba, modem internet dan peralatan lain.

"Siasatan mendapati semua warga China berusia 26 hingga 53 tahun dipercayai baru sebulan berada di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan termasuk mengesan dalang utama dalam kegiatan sindiket perjudian ini.

"Semua suspek memiliki dokumen perjalanan kemudian dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 3:16 PM