Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: "Saya sedia jadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19," kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Berua, Alias Pelong, 56.

Menurut Alias, dia rela menjadi individu pertama disuntik dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan bagi memberi keyakinan kepada lebih 500 penduduk di situ yang masih takut kerana terpengaruh dengan pelbagai cerita negatif yang disebarkan.

"Ada penduduk terpedaya dengan dakwaan vaksin covid-19 boleh membawa maut dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan menyebabkan mereka ini tidak mahu menerima suntikan.

"Jika diikutkan saya juga takut sebab kita dengar pelbagai cerita tetapi sebagai pemimpin komuniti, saya sanggup jadi yang pertama untuk meyakinkan penduduk mengenai kepentingan mengambil vaksin," katanya.

Menurut Alias, dia bersama penduduk setempat turut bimbang dengan penularan jangkitan Covid-19 walaupun mereka berada di kawasan pedalaman memandangkan penempatan mereka turut menerima kunjungan daripada orang luar yang menghantar bantuan.

"Majoriti kami di sini tidak keluar dari kampung namun bimbang juga jika orang luar datang ke sini.

"Jika sudah terima suntikan, sekurang-kurangnya kami ada perlindungan," katanya.

ALIAS Pelong dia rela menjadi individu pertama disuntik dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan. FOTO Ghazali Kori
ALIAS Pelong dia rela menjadi individu pertama disuntik dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan. FOTO Ghazali Kori

Bagi Ibrahim Awang, 75, yang juga penduduk perkampungan itu pula, dia mengakui takut untuk menerima suntikan vaksin kerana mendengar pelbagai cerita yang negatif.

"Memang takut tetapi saya bersedia untuk disuntik jika sudah tiba masanya.

"Walaupun kami jarang keluar dari kampung ini terutama sejak berlaku Covid-19 tetapi suntikan ini sebagai perlindungan kepada diri dan keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 1:16 PM