Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan faktor umur pengguna jalan raya terutama mereka yang berusia menyumbang kepada kadar kemalangan di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, ia perlu memandangkan tahap kesihatan individu berbeza walaupun sudah berusia.

Katanya, umumnya mereka yang berumur 60 hingga 65 tahun juga masih sihat dan boleh memandu, namun pemeriksaan kesihatan itu penting bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah ketika pemanduan.

"PPJK mencadangkan agar pemeriksaan boleh diadakan di klinik kesihatan kerajaan bagi memudahkan orang ramai.

"Ini bukan saja penting bukan saja di jalan raya tetapi kepada semua. Penjagaan kesihatan itu penting," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas cadangan polis untuk mengehadkan pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada warga emas.

Ia termasuk pemeriksaan kesihatan kepada mereka yang lanjut usia sebagai jaminan tidak menghadapi masalah untuk memandu.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, cadangan itu diberikan susulan isu faktor kesihatan menjadi penyumbang kepada kemalangan.

Azisman berkata, penyakit seperti alzheimer dan masalah mata akan dihadapi warga emas apabila mencapai usia lanjut.

Mohammad Hisham berkata, cadangan itu wajar diperhalusi kerana ada asas bahawa kemalangan jalan raya disebabkan faktor usia dan kesihatan pengguna jalan raya.

Berita berkaitan

Hadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 3:26 PM