GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Pusat pemberian vaksin Covid-19 (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, di sini, akan dibuka kepada orang awam 20 hingga 30 September ini.

Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, individu berusia 18 tahun dan ke atas di Johor yang belum mendapat vaksinasi, boleh hadir ke PPV berkenaan untuk sesi pendaftaran bermula 8 pagi pada setiap hari kecuali Jumaat, pada tempoh berkenaan.

Beliau berkata, bagi proses vaksinasi, PPV itu akan beroperasi secara pandu lalu atau drive-in bermula 9 pagi hingga 5 petang.

"Dijemput Bangsa Johor untuk mengambil peluang ini agar kita dapat lindungi diri kita dan lindungi semua," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Dewan Negara mewakili orang kurang upaya (OKU) itu berkata sebelum ini, PPV yang beroperasi sejak 25 Ogos itu dikhususkan kepada golongan OKU dan ahli keluarga mereka serta warga emas.

Beliau berkata, PPV berkenaan juga adalah PPV terbesar di Malaysia dan juga terbesar yang dikhaskan untuk OKU dan warga emas.

PPV Pandu Lalu OKU Sentral itu adalah pusat vaksinasi khas untuk OKU yang kedua dikendalikan oleh OKU Sentral selepas PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Sime Darby Plantation Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 9:03 PM