GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Golongan orang kurang upaya (OKU) dan penjaga mereka dinasihat untuk mendaftar terlebih dahulu sebelum hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru Arena Larkin, di sini, pada Rabu ini.

Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi berkata, pendaftaran menerusi borang Google OKU Sentral perlu dibuat bagi mengelakkan bakal penerima vaksin datang secara jumpa terus atau 'walk-in' terutama dengan berjalan yang mengundang bahaya kepada mereka.

"PPV ini akan dibuka pada 25 Ogos dan ramai telah mendengar tentang pembukaannya. Mereka mahu datang begitu sahaja, tidak boleh sebenarnya kerana PPV ini adalah secara pandu lalu. Sekiranya mereka berjalan ke PPV, kita khuatir ia agak berbahaya.

"Jika mereka datang (secara walk-in), kita akan beri bantuan kerusi roda dan daftarkan mereka. Namun mereka mesti berdaftar untuk diberi bantuan bagi mendapatkan vaksin," katanya ketika melawat Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Johor, di sini, hari ini.

Ras Adiba, yang juga Pengerusi Bernama, berkata demikian ketika diminta mengulas pembukaan PPV secara pandu lalu khas untuk golongan OKU dan penjaga mereka di negeri itu.

Ahli Dewan Negara mewakili OKU itu berkata, PPV khas untuk golongan OKU adalah yang terbesar di negara serta dunia setakat ini dan sudah menerima jumlah pendaftaran sebanyak 3,000 orang.

Selain OKU, tiga ahli keluarga atau penjaga mereka serta warga emas turut menerima vaksin di PPV itu yang akan beroperasi pada setiap Sabtu hingga Khamis dari 9 pagi hingga 5 petang.

Menyentuh mengenai PPV pandu lalu OKU pertama di Sime Darby Plantation Ara Damansara yang mula dibuka pada 16 Jun lalu, Ras Adiba berkata, pihaknya menerima maklum balas yang baik terutama dari segi kemudahan dan layanan.

"Keunikan PPV pandu lalu ini adalah cara kami menyantuni mereka. Doktor, pembantu dan petugas-petugas lain termasuk sukarelawan telah diberikan penjelasan terlebih dahulu bagaimana mahu bercakap dalam menyantuni mereka.

"Kita juga ada bilik tenang bagi mereka yang perlu diberikan lebih perhatian. Ada kalanya mereka mungkin berasa agak tidak selesa di dalam kereta kerana terlalu rapat selain ketakutan," katanya.

Golongan OKU dan penjaga mereka yang ingin membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksin di PPV pandu lalu khas boleh melayari pautan https://forms.gle/gVXk6jeAeo8Pru1v6.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:38 PM