Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petaling Jaya: Pendaftaran golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menerima vaksin Covid-19 melalui MySejahtera di seluruh negara masih rendah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, setakat ini seramai 240,991 OKU berdaftar untuk menerima vaksin berbanding jumlah keseluruhan golongan itu hampir 600,000.

Menurutnya, kementerian itu kini berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat untuk membantu meningkatkan pendaftaran OKU.

"Pendaftaran OKU untuk divaksin masih rendah berbanding jumlah keseluruhan golongan itu yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kementerian akan terus mempertingkatkan kadar pendaftaran OKU dan membolehkan mereka menerima vaksin," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU di Sime Darby Plantation di sini, hari ini.

Turut hadir, Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang juga Presiden OKU Sentral.

PPV Pandu Lalu ini adalah pertama di Malaysia dan Asia Tenggara mampu menampung 200 penerima vaksin OKU setiap hari yang mendapat kerjasama Sime Darby Plantation dan OKU Sentral dengan mensasarkan 16,000 penerima sehingga Oktober ini.

Katanya, 10,229 OKU seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin pertama dan jumlah itu dijangka akan meningkat menjelang hujung tahun ini.

Rina Harun hadir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu dengan kerjasama OKU Sentral, turut dihadir, Ras Adiba di Sime Darby Plantation, Ara Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Rina Harun hadir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu dengan kerjasama OKU Sentral, turut dihadir, Ras Adiba di Sime Darby Plantation, Ara Damansara. FOTO AZIAH AZMEE

Tambahnya, kementerian juga bercadang untuk memperbanyakkan lagi PPV Pandu Lalu OKU di seluruh negara agar lebih ramai golongan itu menerima suntikan.

Dalam pada itu, Ras Adiba berkata, OKU Sentral akan terus bekerjasama dengan NGO OKU lain untuk mempertingkatkan jumlah pendaftaran OKU bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"OKU Sentral akan membantu kerajaan meningkatkan kesedaran OKU untuk menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 5:50 PM