LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Lelaki warga emas yang ditemukan maut dalam keadaan terduduk di sisi basikal miliknya di hadapan rumah kedai Jalan Padang Temusu, dekat sini, hari ini, disahkan positif Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, perkara itu dimaklumkan pihak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang melakukan ujian saringan sebelum proses bedah siasat.

"Ujian saringan Covid-19 yang dilakukan terhadap mangsa mendapati dia positif Covid-19 dan maklumat berkenaan disahkan pihak hospital," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, dalam kejadian 8.45 pagi, mangsa yang berusia 73 tahun ditemuikan tidak sedarkan diri oleh penduduk berhampiran yang kemudian menghubungi polis.

Hasil keterangan awal, anak saudaranya mendakwa mangsa tinggal seorang diri di sebuah rumah tidak jauh dari tempat kejadian.

Mangsa yang masih bujang dan bekerja sendiri itu menjalani hidup hasil bantuan orang ramai sekitar kawasan terbabit.

Selain itu, siasatan polis juga mendapati mangsa adalah penagih tegar dan kes diklasfikasi sebagai mati mengejut.

Mayat kemudian dihantar ke HSAH untuk ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 8:07 PM