KOPERAL Fitri sempat bersalaman dengan Koperal K Mahadir yang maut selepas dilanggar motosikal ketika mengejar penjenayah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KOPERAL Fitri sempat bersalaman dengan Koperal K Mahadir yang maut selepas dilanggar motosikal ketika mengejar penjenayah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: "Pagi tadi saya sempat jumpa arwah (Koperal K Mahadir Elis) buat terakhir sekitar 5.30 pagi. Kami sempat bersalam dan dia ucap terima kasih kerana sama-sama dapat tangkap tiga suspek itu.

"Tangan arwah ketika itu sejuk dan wajahnya berseri-seri, namun saya terkejut dan sebak apabila dimaklumkan dia meninggal dunia akibat dilanggar ketika sedang mengejar penjenayah," kata Koperal Fitri Fadzil, 33.

Fitri berkata, ketika kejadian 7.30 pagi hari ini, dia meneruskan tugas di Balai Polis Sungai Petani manakala arwah Mahadir bersama rakan lain keluar semula untuk menangkap seorang lagi suspek dikehendaki.

Katanya, dia tidak sempat melihat keadaan jasad rakan baiknya itu, namun sedih dengan apa yang berlaku.

"Arwah ada beritahu rakannya yang dia nak tangkap juga suspek.

"Saya tak sangka dia sanggup berkorban demi untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Padang Temusu, hari ini.

Menurut Fitri, arwah yang berasal dari Lahad Datu, Sabah itu adalah seorang anggota yang baik dan kehilangannya sangat dirasai.

Bagaimanapun, Fitri gagal menahan air mata sebaik mengenangkan rakan baiknya yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kali terakhir dia melihat arwah dua hari lalu dan sempat menyapanya.

Katanya, arwah seorang yang sangat baik dan berdedikasi ketika menjalankan tugas.

Dalam kejadian 7.30 pagi hari ini, Mahadir, 38, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal ketika mengejar penjenayah di Padang Temusu, di sini.

Mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan jenazahnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan mengejar suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun, pecah rumah dan curi kenderaan susulan penahanan tiga rakan suspek, sebelum itu.

Berita berkaitan

Anggota polis maut ketika mengejar penjenayah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 4:56 PM