Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Taktik penyeludup membawa daun ketum menggunakan lori tangki simen terbongkar apabila kenderaan itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Chekok, Tok Uban, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 pagi, hasil pemeriksaan polis menemukan daun ketum seberat 5,660 kilogram (kg) bernilai hampir RM200,000 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, anggota polis menahan lori yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dan kelindan berusia 46 tahun untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan ke atas badan kedua-dua lelaki itu tidak menemui barangan salah, namun anggota menemui banyak plastik hitam mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum dalam tangki pembancuh simen lori berkenaan.

"Anggota polis kemudian menahan kedua-dua suspek bersama lori berkenaan, manakala kesemua daun ketum dirampas untuk tindakan lanjut.

"Hasil soal siasat mendapati daun ketum berkenaan dibawa dari negeri di Utara Semenanjung untuk diseludup ke negara jiran susulan permintaan dan nilai pasaran yang tinggi.

"Selain itu, polis yakin kawasan Pasir Mas dijadikan lokasi transit sebelum kesemua daun ketum terbabit diseludup melalui jalan sungai yang tidak diwartakan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.

HASIL penahanan lori tangki jenis Volvo berwarna kuning itu, pihak polis berjaya merampas 5,660 kilogram (kg) daun ketum. FOTO NIk Abdullah Nik Omar
HASIL penahanan lori tangki jenis Volvo berwarna kuning itu, pihak polis berjaya merampas 5,660 kilogram (kg) daun ketum. FOTO NIk Abdullah Nik Omar

Shafien berkata, siasatan juga mengesan taktik membawa daun ketum menggunakan lori tangki simen adalah modus operandi terbaru digunakan penyeludup.

Menurutnya, hasil semakan mendapati lori berkenaan adalah milik pemandu terbabit yang baru dibeli dalam tempoh sebulan lalu.

"Kita mengesyaki suspek berperanan sebagai 'transporter' untuk membawa seludup barangan terlarang ini.

"Pihak polis juga dalam proses menyiasat hubung kait kes ini dengan rampasan sebelumnya yang membabitkan penyeludupan daun ketum di jajahan Pasir Mas," katanya.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati pemandu lori positif dadah jenis morfin, manakala kelindan mempunyai rekod jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 4:48 PM