SITI Harkom (kiri) bersama Siti Jesnita Abdullah (tengah) dan Allahyarham Muhammad Hafiz Syamir (kanan) pada AildilFitri tahun lalu. FOTO ihsan Siti Harkom Yakob
SITI Harkom (kiri) bersama Siti Jesnita Abdullah (tengah) dan Allahyarham Muhammad Hafiz Syamir (kanan) pada AildilFitri tahun lalu. FOTO ihsan Siti Harkom Yakob
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: "Dalam seminggu ini, saya perasan status WhatsApp dia agak lain macam termasuk 'kalau andai salah kata, saya minta maaf' dan 'Andai satu hari saya pergi, mohon maafkan saya," kata Siti Harkom Yakob.

Siti Harkom, 20 adalah sepupu kepada Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, yang maut bersama rakan sekerjanya selepas kereta dinaiki mereka dirempuh pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melawan arus di Kilometer 8.5 dan 8.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, 1.30 pagi hari ini.

Menurutnya, arwah berjanji untuk pulang ke kampung di Sabah bersama semua sepupunya sebaik berjaya dalam kerjaya masing-masing kelak.

"Kami berasal dari Semporna, Sabah, tetapi lahir dan membesar bersama-sama di sini. Di rumah ini arwah tinggal dengan makcik pakcik kami (ibu bapa saudara) manakala adik beradik arwah tinggal dengan keluarga di Sabah.

"Di sini, arwah bekerja di kilang membuat alat muzik sebab dia cakap hendak cari duit untuk sambung belajar.

"Dia pernah janji dengan kami, sepupu dia (sebak)...dia kata, kita nanti bila sudah berjaya, berjaya sama-sama...balik kampung sama-sama," katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kelompok Camar, Bandar Sultan Suleiman, di sini, hari ini.

Siti Harkom berkata, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa tiga hari lalu, tetapi menyedari beberapa status WhatsApp Muhammad Hafiz Syamir kebelakangan ini agak menyentuh hatinya.

Beliau berkata, arwah seorang yang ceria, suka berborak dan peramah dengan sepupunya serta sesiapa saja, selain suka bergurau dan mengusik mereka.

Menurutnya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bertam, Pulau Pinang, mereka sekeluarga terkejut sebaik mengetahui berita kemalangan maut membabitkan Muhammad Hafiz Syamir menerusi satu portal berita.

"Kami mengetahui mengenai kejadian menimpa Hafiz menerusi portal berita selain polis menghubungi makcik yang tinggal bersama arwah.

"Makcik menghubungi ibu bapa Hafiz dan memberitahu kejadian ini, mereka sudah tiba di sini dan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

"Arwah dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan di sini tetapi kami masih menunggu ibu bapa arwah untuk memutuskannya," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, mereka sekeluarga berharap pihak berkuasa bertindak tegas dan mengenakan hukuman setimpal terhadap pemandu yang melawan arus itu.

Katanya, kejadian lawan arus kerap berlaku kebelakangan ini dan pesalah mesti dihukum setimpal kerana menyebabkan nyawa orang lain melayang.

Berita berkaitan

'Dua maut dilanggar pacuan empat roda lawan arus'

'Pemandu lawan arus hingga dua maut disahkan positif dadah'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 8:42 PM