Roselan Ab Malek


Jerantut: Penternak ikan patin di daerah ini yang terjejas pendapatan sejak awal tahun ini menarik nafas lega apabila Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris tampil membantu memborong sebanyak 2.4 tan ikan berkenaan.

Seorang penternak, Mohd Amirul Alias, 45, berkata dia rasa bersyukur kerana usaha Ahli Parlimen itu dapat meringankan bebannya untuk memberi makan ikan berkenaan yang kini mencapai tahap terlebih matang.

"Saiz ikan patin ini mencapai berat antara dua hingga tiga kilogram seekor sekali gus tidak memenuhi pasaran runcit dan kedai makan kerana terlalu besar.

"Selain itu, sekatan rentas daerah dan negeri juga membuatkan kami tidak dapat membekal ikan kepada peniaga pasar malam, pekan sehari, restoran dan peraih dari Lembah Klang.

"Usaha memborong ikan patin ini melegakan penternak ikan di Kampung Periuk, malah saya sendiri mempunyai stok lebih 10 tan ikan yang belum terjual," katanya.

DATUK Ahmad Nazlan Idris (berkopiah)  menyumbangkan ikan patin segar kepada penduduk Felda Sungai Tekam. FOTO Roselan Ab Malek
DATUK Ahmad Nazlan Idris (berkopiah) menyumbangkan ikan patin segar kepada penduduk Felda Sungai Tekam. FOTO Roselan Ab Malek

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, beliau berharap tindakannya mampu meringankan beban yang ditanggung oleh penternak terbabit.

"Saya membeli ikan ini untuk disumbangkan kepada 400 keluarga di Felda Sungai Tekam dan 211 keluarga di Kampung Sungai Kiol yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Usaha serampang dua mata ini di samping membantu penduduk kampung yang dikenakan PKPDt, ia juga dapat membantu penternak ikan patin yang terjejas teruk kerana tiada pasaran," katanya.

Katanya, situasi ikan patin yang tidak terjual bukan sahaja berlaku di daerah ini, tetapi turut membabitkan penternak ikan sangkar dan kolam di Temerloh dan Lipis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:04 PM