Sittah Annur, 39, Ketua Ajaran PMYT ketika ditahan polis. FOTO IHSAN PDRM
Sittah Annur, 39, Ketua Ajaran PMYT ketika ditahan polis. FOTO IHSAN PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri akan berusaha memujuk ketua dan pengikut Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) untuk kembali ke pangkal jalan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkataan memujuk dan meminta untuk mereka bertaubat adalah jalan toleransi yang ditawarkan kepada kumpulan berkenaan.

Katanya, bahagian akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai kepakaran untuk melakukan kaunseling dan mengenakan tindakan yang sesuai.

"Kalau perlu dia bertaubat, dia bertaubat dan kita akan bawa kepada perbincangan serta kaunseling kepada mereka ini. Kalau masih lagi ada keengganan, kita akan teruskan untuk pendakwaan.

"Tetapi sebagaimana yang kita tahu bahawa pendekatan kita adalah matang dan sejahtera dengan konsep Keluarga Malaysia.

"Kita cuba sedaya upaya untuk menjaga keharmonian dan juga yang paling penting kita kena sedarkan dalam soal kesalahan-kesalahan membabitkan akidah. Kalau dia boleh kembali semula ke pangkal jalan itu yang terbaik kita usahakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan dan juga wang tunai kepada 25 pengayuh beca dalam Program Yadim Peduli: Musaadah Yadim-Bank Islam di Dataran Muhammadi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, siasatan Jakim akan memberi fokus ke atas isi kandungan ajaran sama ada ia benar-benar sebuah doktrin ataupun ajaran yang menyeleweng ataupun ianya sekadar perlakuan yang spontan yang tidak membawa doktrin ataupun ajaran yang menyeleweng.

"Bagaimanapun, apa yang lebih kita bimbangkan ialah dia membawa satu formula ataupun doktrin yang menyeleweng pada ajaran agama," katanya.

Terdahulu, ketua ajaran PMYT dikenali sebagai Sittah Annnur yang ditahan di rumahnya di Shah Alam, Selangor 4 September lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Wanita berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan Jakim atas arahan Timbalan Pendakwa Raya.

LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.

Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:21 PM