HANS Kluge. FOTO Arkib AFP.
HANS Kluge. FOTO Arkib AFP.
AFP

Copenhagen: Varian Omicron membawa pandemik Covid-19 ke fasa baharu dan mungkin boleh diakhiri Eropah, menurut Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah pada Ahad.

"Adalah munasabah bahawa rantau ini sedang menuju ke arah pengakhiran pandemik," kata Hans Kluge dalam temubual bersama AFP, sambil menambah Omicron boleh menjangkiti 60 peratus penduduk Eropah menjelang Mac.

Katanya, apabila lonjakan semasa Omicron yang melanda seluruh Eropah reda, "akan terdapat imuniti global selama beberapa minggu dan bulan, sama ada kerana vaksin atau penduduk yang membentuk imuniti akibat jangkitan, mahupun disebabkan musim kurang sibuk."

"Kami menjangkakan akan ada tempoh bertenang sebelum Covid-19 kembali menjelang hujung tahun, tetapi tidak semestinya boleh membuatkan pandemik berulang," kata Kluge.

Saintis terkemuka Amerika Syarikat (AS) Anthony Fauci menzahirkan pandangan hampir sama.

Dalam rancangan bual bicara ABC News, 'This Week', beliau berkata, kes Covid-19 akan menurun "agak mendadak" di beberapa bahagian AS dan "semuanya kelihatan baik."

Enggan terlalu yakin, Fauci bagaimanapun berkata, jika penurunan jumlah kes seperti di timur laut AS berterusan, beliau percaya mereka akan mula melihat perubahan di seluruh negara.

Pejabat Wilayah WHO bagi Afrika juga berkata, kes Covid-19 di rantau itu merudum, minggu lalu dan kematian menurun buat pertama kalinya sejak gelombang keempat Omicron mencapai kemuncaknya.

Varian Omicron yang mana kajian menunjukkan ia lebih mudah merebak berbanding Delta tetapi secara amnya memberi kurang jangkitan teruk kepada orang divaksin, telah membangkitkan harapan bahawa Covid-19 mula beralih daripada fasa pandemik kepada endemik yang lebih terurus seperti selesema bermusim.

Tetapi Kluge memberi amaran bahawa masih terlalu awal untuk menganggap endemik Covid-19.

"Terdapat banyak perbincangan mengenai endemik, tetapi endemik bermaksud... memungkinkan untuk untuk meramalkan apa yang berlaku. Virus ini mengejutkan (kita) lebih daripada sekali, jadi kita perlu lebih berhati-hati," kata Kluge.

Katanya, dengan Omicron yang tersebar begitu meluas, varian lain juga masih boleh muncul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 11:17 AM