ZAIDI bersama hadiah program 30 Hari 30 Frontliners.
ZAIDI bersama hadiah program 30 Hari 30 Frontliners.

Kuala Lumpur: Nikmat memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) hanya bertahan selama 10 minit pertama kemudian ada antara petugas barisan hadapan yang hampir pitam kerana keletihan.

Malah, cabaran mengerjakan ibadah puasa sambil menguruskan penyediaan logistik untuk proses ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk di Chow Kit, di sini, sangat menguji kekuatan mental dan fizikal.

Situasi getir itu dilalui Ketua Pembantu Tadbir Kewangan, Pejabat Kesihatan Titiwangsa, Zaidi Razak, 37, yang keletihan selepas lebih enam jam menyarung PPE di kawasan zon merah itu, tahun lalu.

Zaidi memberitahu, selepas mendapat arahan dan dilantik sebagai ketua pasukan logistik dia perlu berada di lokasi saringan seawal 7 pagi untuk memastikan proses aktiviti persampelan Covid-19 berjalan lancar.

"Setiap kakitangan yang ditugaskan di kawasan zon merah, wajib memakai PPE. Jadi, secara tidak langsung saya perlu memakai PPE untuk memastikan kelengkapan logistik untuk setiap kawasan berjalan lancar.

"Ketika memakai PPE, peluh keluar tanpa henti hingga tubuh lencun lebih-lebih lagi cuaca panas ketika itu.

"Saya juga baru sedar inilah keperitan yang terpaksa dilalui petugas barisan hadapan apabila perlu memakai PPE lebih 8 jam malah ada yang hampir pitam keletihan kerana proses saringan dilakukan pada bulan puasa," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak selesa dan letih, namun dia cuba menguatkan semangat demi kerja diamanahkan.

"Ketika dilantik menjadi pegawai kerajaan 17 tahun lalu, saya sudah berjanji untuk sentiasa bersedia dan menjalankan kerja yang diamanahkan. Saya gagahkan diri untuk melaksanakan tanggungjawab ini walaupun penatnya hanya Tuhan saja tahu.

"Saya bersyukur kerana Tuhan memberikan kekuatan kepada saya dan pasukan untuk menjalankan tugasan yang diberikan di beberapa kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di sekitar ibu kota tahun lalu," katanya yang terpilih memenangi 30 Hari 30 Frontliners.

Menerusi kempen anjuran Central Sugars Refinery (CSR), Hot FM, Fly FM dan Harian Metro, Zaidi membawa pulang hadiah bernilai RM500 dan barangan keperluan.

Ia bagi menghargai dan tanda terima kasih terhadap kerja keras, pengorbanan serta penat lelah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan.

Dalam masa sama, Zaidi yang kini menguruskan logistik di empat hotel sekitar ibu kota yang menjadi lokasi kuarantin bagi setiap individu yang baru tiba dari luar negara bersyukur kerana mempunyai pasukan yang sangat dedikasi dan tidak pernah putus asa.

"Saya bersama pasukan saya dari jabatan kewangan di Pejabat Kesihatan Titiwangsa perlu turun padang untuk menguruskan urusan logistik di empat pusat kuarantin.

"Walaupun di sebelah pagi perlu ke lokasi kuarantin, kemudian pada waktu petang perlu masuk pejabat untuk melunaskan kerja sedia ada, mereka tidak pernah mengeluh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 9:02 AM