PROSES tayamum dilakukan ke atas jenazah sebelum disolatkan.
PROSES tayamum dilakukan ke atas jenazah sebelum disolatkan.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Kebanjiran mayat pesakit Covid-19 memang meletihkan semua petugas barisan hadapan yang langsung tidak bercuti sejak beberapa bulan lalu.

"Namun saya anggap kerja ini (mengurus jenazah Covid-19) sebagai bakti perlu ditunaikan kepada negara," ujar Pengurus Jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Nursyamsul Abdul Roni, 40.

Beliau mengakui kadangkala terasa kelesuan kerana terpaksa menguruskan jenazah mangsa Covid-19 setiap hari dalam jumlah yang besar.

"Namun memikirkan ini adalah tanggungjawab dan 'lubuk' pahala, saya cekalkan semangat dan hati untuk meneruskan tugas ini bersama ramai petugas lain.

"Kalau diikutkan memang sesiapa sahaja akan kepenatan bila melihat mayat mangsa Covid-19 tidak putus-putus dihantar ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Nursyamsul berkata, sehingga kini dia dan petugas lain masih belum mengambil cuti dan akan bertugas setiap hari menguruskan jenazah Covid-19 di Pusat Urus Jenazah Sementara (Pusara) di HKL.

Menurutnya, pihak Jawi akan memberi jadual tugasan setiap malam tugasan keesokan harinya.

"Selain bertugas pada awal pagi, saya sudah tetapkan setiap hari sekurang-kurangnya satu slot tugasan pengurusan jenazah dilakukan pada jam 2 petang atau 5 petang.

"Saya juga perlu bijak menguruskan masa bersama keluarga andai kata perlu keluar membeli barangan keperluan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengakui pernah berasa gusar jika dijangkiti virus Covid-19 ketika menguruskan jenazah mangsa.

Menurutnya, tugas dilakukannya itu membabitkan proses tayamum dan solat jenazah sebelum jenazah dimasukkan ke dalam van untuk dibawa ke kubur.

"Paling utama, saya dapat belajar bagaimana menguruskan jenazah mangsa Covid-19 sehinggakan kadangkala kepenatan itu tidak dirasai.

"Penat itu memang tidak dapat dinafikan, bayangkan jika perlu menguruskan 33 jenazah Covid-19 sehari. Namun tugas ini tetap diteruskan dengan tabah memikirkan kesedihan dialami ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tercinta," katanya.

Jenazah bertambah uji emosi, fizikal

Kuala Lumpur: Ubun kepala terasa berdenyut kencang. Urat mata mencengkam tatkala terik mentari petang terus menikam tubuh. Peluh mengalir di dahi mereka tanpa henti.

Sekitar 30 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dilihat bersiap sedia di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Niat mereka jelas. Mahu menguruskan deretan jenazah mangsa covid-19 bakal dihantar terus dari hospital setiap hari.

Menyarung PPE dengan menutup setiap inci kulit tubuh menyebabkan rata-rata mereka ibarat berada di dalam periuk didih. Hawa panas terperangkap di dalam PPE dirasai cukup menyeksakan hingga tubuh bermandi peluh.

Begitupun cangkul di tangan terus digenggam erat. Suhu 33 darjah Celsius menyebabkan kerongkong mereka begitu perit dan haus.

Semua mereka tetap sabar menanti saat ketikanya van jenazah muncul untuk menguruskan 'perjalanan' terakhir jenazah Covid-19 ke alam abadi.

" Tipulah jika kami katakan tidak berasa penat dan lelah. Dengan jumlah jenazah pesakit covid-19 yang kian bertambah saban hari..ia benar-benar menguji ketahanan emosi dan fizikal," ujar pegawai APM Wilayah Persekutuan, Leftenan Mohd Jasmi Salehudin,

Menurutnya, tanggung jawab dipikul bagi mengebumikan jenazah mangsa Covid-19 itu dilakukan sejak lebih dua bulan lalu bersama petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Kesihatan Daerah Kepong dan pertubuhan bukan kerajaan dari Sungai Penchala.

"Pada awalnya dahulu, hanya satu atau dua mayat sahaja diuruskan sehari. Namun sejak sebulan lalu, angkanya meningkat mendadak dengan purata 16 jenazah sehari. Jenazah tidak putus-putus hadir silih berganti.

"Bagi petugas APM, keadaan ini tidak pernah dibayangkan dahulu. Jauh dari tugasan rutin dipikul kami sebelum ini. Bagaimanapun tanggungjawab fardu kifayah ini perlu diuruskan sebaik mungkin, " katanya yang 'berumah' di tanah perkuburan itu sejak 23 Jun lalu.

Dia memberitahu, mereka terlebih dahulu perlu 'menuntut ilmu' kaedah pengendalian jenazah dari petugas JAWI selain prosedur operasi standard (SOP) mangsa Covid-19 yang perlu dipatuhi.

"Walaupun tampak ringkas mengusung dan menanam setiap jenazah namun hakikatnya ia perlu dilakukan dengan tertib. Bungkusan plastik berisi jenazah perlu disanitasi sebelum diangkat beramai-ramai ke liang lahad.

Tidak sekadar menurunkan jenazah ke liang lahad, kami juga ditugaskan mengambus semula liang lahad menggunakan cangkul dan penyodok," katanya.

Dia berkata, berdepan cuaca panas dan penggunaan beberapa lapisan PPE adalah cabaran terbesar dilalui setiap petugas di tanah perkuburan.

"Mahu atau tidak, tubuh akan basah lencun ketika memakai PPE. Tubuh akan menjadi cepat penat dan sukar untuk bernafas apatah lagi jika menguruskan jenazah dalam jumlah besar.

"Banyak kudrat tenaga digunakan ketika turun naik dari liang lahad serta mencangkul tanah kubur. Fizikal perlu kuat walaupun ada kalanya sukar untuk bernafas dan tercungap-cungap kepenatan," katanya semalam.

Baginya tugas mengebumikan jenazah mangsa covid-19 adalah duka tanpa penghujung apatah lagi Lembah Klang terus mencatatkan jumlah mangsa covid-19 harian tertinggi.

"Kalau dikira penat, sememangnya semua 'frontliners' letih dan mengalami sindrom lesu upaya. Tapi yakinlah, kami semua akan terus berdiri untuk rakyat dan negara," katanya.

Menurutnya, biarpun keletihan namun kehadiran Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Hj Norhafifi Ismail dan Pengarah APM Wilayah Persekutuan Kolonel (PA) Effendy Ali yang turut sama membantu menguruskan jenazah memberikan dorongan untuk mereka terus memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat.

Sementara itu, anggota APM Cheras, Leftenan Kassim Saddullah, 40, yang menguruskan jenazah mangsa Covid-19 di Taman Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kem Sg. Besi di sini, mengakui tidak menang tangan sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, biarpun keletihan namun kehadiran Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Hj Norhafifi Ismail dan Pengarah APM Wilayah Persekutuan Kolonel (PA) Effendy Ali yang turut sama membantu menguruskan jenazah memberikan dorongan untuk mereka terus memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat.

Sementara itu, anggota APM Cheras, Leftenan Kassim Saddullah, 40, yang menguruskan jenazah mangsa Covid-19 di Taman Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kem Sg. Besi di sini, mengakui tidak menang tangan sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, sekitar enam jenazah diuruskannya sehari dan angkanya terus meningkat termasuk jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras.

"Enam anggota APM lengkap dengan PPE akan bersedia seawal jam 12 tengahari setiap hari. Biasanya tugas semburan sanitasi akan dilakukan dahulu terhadap bungkusan jenazah, van jenazah dan pengusung sebelum jenazah dibawa ke liang lahad.

"Tiga petugas akan mengangkat jenazah sebelum tiga lagi petugas menyambut dari dalam liang lahad. Selepas jenazah diletakkan menghadap ke kiblat, tugas mengambus kubur dilakukan.

"Setiap urusan jenazah perlu diselesaikan dalam tempoh 30 minit sebelum pihak pengurusan kubur membacakan talkin di pondok terletak jauh dari kawasan pusara," katanya,

Ditanya berhubung pengalaman dilalui, Kassim mengakui berdepan cabaran ketika mahu mengebumikan jenazah mangsa covid-19 seberai lebih 200 kilogram.

"Sembilan petugas diperlukan untuk mengangkat jenazah sebelum diturunkan perlahan-lahan ke dalam liang lahad. Malah saya tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika mengebumikan bayi pra matang berusia tujuh bulan yang turut menjadi mangsa covid-19," katanya.

Sementara itu Kapten, Nasihah Nizar, 41, berkata, aspek keselamatan amat dititik beratkan dalam pemakaian PPE berikutan semua mereka turut perlu memakai sarung kaki dan tangan, apron selain pelindung muka tambahan sepanjang bertugas.

"Pemeriksaan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan tidak berlaku kebocoran PPE atau bahagian kulit yang terdedah pada udara. Malah selepas selesai mengebumikan jenazah, semua petugas akan menjalani proses sanitasi terakhir sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Terpaksa guna jentolak untuk gali lubang kubur

"Walaupun cuti umum Awal Muharram (Selasa lalu), petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tetap meneruskan tugas menguruskan jenazah mangsa Covid-19 seperti biasa," ujar Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Menurutnya, seramai 90 petugas lelaki dan 29 petugas wanita Jawi terbabit dalam mengurus pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di hospital di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Pasukan Jawi ini bertugas menguruskan jenazah dari beberapa hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Hospital Putrajaya (HPJ) dan Institut Kanser Negara (IKN).

"Setakat hari ini (semalam), sebanyak 2,958 jenazah mangsa Covid-19 beragama Islam membabitkan warga Wilayah Persekutuan dan Labuan sudah diuruskan pihak Jawi untuk pengebumian," katanya.

Menurutnya, jentolak terpaksa digunakan untuk menggali lubang kubur susulan bilangan jenazah yang tinggi perlu diuruskan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah (TPIRS) Lebuhraya KL-Karak di Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara.

"Jawi terpaksa guna langkah lebih proaktif dengan menggunakan jentera disewa ini bagi menggali lubang kubur. Penggali kami yang mahir kemudian akan membuat liang lahad.

"Jentera ini juga kami gunakan untuk membantu menutup lubang kubur, semua ini adalah bagi mempercepatkan proses pengurusan jenazah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 2:00 PM