Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Gerombolan 'lembaga' berpakaian putih dilihat berbaris dan berkeliaran di sekitar Perumahan Awam Desa Rejang di sini, sejak Jumaat lalu.

Kehadiran dan pergerakan kumpulan 'plastik putih' ini jelas menarik perhatian hampir 12,000 penghuni kediaman padat berkenaan.

Kumpulan lebih 60 individu berpakaian kelengkapan pelindung diri (PPE) itu adalah antara petugas pelbagai agensi di kawasan Perumahan Awam Desa Rejang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat lalu hingga 1 Julai hadapan.

Ia susulan terdapat hampir 500 kes positif jangkitan Covid-19 dikesan di kawasan itu yang dikhuatiri akan terus merebak.

PETUGAS membabitkan pelbagai agensi menggunakan kelengkapan pelindung diri (PPE) ketika menghantar makanan dan barangan keperluan kepada 11,422 penghuni pangsapuri  Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur.
PETUGAS membabitkan pelbagai agensi menggunakan kelengkapan pelindung diri (PPE) ketika menghantar makanan dan barangan keperluan kepada 11,422 penghuni pangsapuri Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA), Effendy Ali berkata, menyedari ancaman virus Covid-19, setiap petugas diwajibkan memakai PPE ketika ditugaskan mengagihkan bakul makanan dan keperluan harian kepada 11,422 penghuni pangsapuri di kawasan PKPD itu.

"Tugas ini dilakukan bersama membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Penugasan di lokasi ini turut dibantu petugas Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Penerangan Malaysia (Japen).

"Seramai 42 anggota APM di tempatkan di Perumahan Awam Desa Rejang setiap hari dengan peranan utama mengagihkan makanan dan keperluan harian selain membantu kes kecemasan membabitkan penduduk.

"Cabaran besar dilalui petugas berikutan jumlah kediaman yang besar membabitkan 2,791 unit kediaman. Mereka perlu menaiki tangga atau lif untuk sampai ke setiap unit blok," katanya.

PETUGAS pelbagai agensi lengkap memakai kelengkapan pelindung diri (PPE) mendengar taklimat sebelum tugasan pengagihan dilakukan.
PETUGAS pelbagai agensi lengkap memakai kelengkapan pelindung diri (PPE) mendengar taklimat sebelum tugasan pengagihan dilakukan.

Effendy yang juga Pengarah APM Wilayah Persekutuan berkata, petugas APM dan agensi lain perlu memakai PPE itu bagi jangka masa lama sehingga tugas mengagihkan makanan selesai dilakukan.

"Bayangkan mereka perlu bergerak dalam keadaan tubuh ditutup sepenuhnya PPE dari hujung kaki hingga hujung rambut. Malah mereka perlu bertugas membawa makanan dalam keadaan cuaca panas.

"Tidak hairanlah ada antara petugas yang memakai PPE sehingga tempoh 5 jam mengalami pitam. Terbaharu semalam, dua anggota APM hampir pengsan ketika menjalankan tugas berikutan keadaan cuaca panas terik semasa proses penghantaran bakul makanan.

"Namun saya bangga berikutan sukarelawan APM terbabit tidak patah semangat dan mahu meneruskan tugas diamanahkan," katanya yang turut memuji semangat ditunjukkan Leftenan Nassahahrul Noor dan Leftenan Muhammad Imran Hakim Rosman selaku pegawai di lapangan," katanya.

Difahamkan tugasan di zon merah itu berdepan beberapa cabaran apabila ada segelintir penduduk mencetuskan masalah.

Difahamkan Perumahan Awam Desa Rejang dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes amat ketara dalam masa singkat apabila 264 kes positif direkodkan hasil 3,512 saringan dengan kadar positif 7.52 peratus pada Rabu lalu.

Lebih membimbangkan apabila kes jangkitan meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti berkenaan.

Sementara itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM turut mengedarkan barangan khusus kegunaan harian seperti peralatan mandian, ubat-ubatan dan keperluan bayi kepada penduduk di situ.

Langkah proaktif ini diambil KPWKM berikutan aduan yang dikemukakan penduduk di Desa Rejang berkaitan dengan keperluan makanan dan keperluan asas yang terjejas susulan daripada larangan pengoperasian kedai runcit sepanjang tempoh PKPD.

KPWKM turut menyediakan perkhidmatan sokongan sosial melalui perkhidmatan tele kaunseling, pengoperasian bilik gerakan, Talian Kasih 15999 24 jam serta berkomunikasi dengan wakil penduduk yang dilantik.

CUACA panas adalah cabaran besar kepada sukarelawan termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika mengagihkan makanan harian kepada penduduk  Perumahan Awam Desa Rejang.
CUACA panas adalah cabaran besar kepada sukarelawan termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika mengagihkan makanan harian kepada penduduk Perumahan Awam Desa Rejang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:20 AM