Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Arwah memang seorang yang ceria dan baik hati, kali terakhir berjumpa buat majlis makan bakar-bakar bersama keluarga bulan lalu, dia juga yang memasak untuk kami semua," kata Rosli Saidin, 52.

Rosli adalah abang ipar kepada pemandu lori, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang maut dalam insiden tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185, kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley hari ini.

Rosli berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa adik iparnya itu menerusi isteri arwah kira-kira 7 malam tadi sebelum bergegas dari Butterworth, Pulau Pinang terus menuju ke Ipoh.

"Pada mulanya anak saya ada melihat gambar lori dalam kejadian yang tular, namun tidak dapat pengesahan daripada sesiapa sama ada mangsa itu adik ipar saya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam tadi.

Beliau berkata, arwah memang kerap berulang alik ke Cameron Highlands untuk mengambil sayur.

Menurutnya, arwah disifatkan sebagai seorang yang ceria dalam keluarga dan baik hati dengan semua orang.

"Kami memang agak terkejut dengan kejadian ini...namun kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah," katanya.

Katanya, arwah mempunyai sepasang anak berusia kira-kira dua dan setahun hasil perkahwinan dengan adik perempuannya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Hafiz tiba di di perkarangan Jabatan Forensik HRPB dengan trak polis pada 11.50 malam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua lelaki disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley, di sini, semalam.

JENAZAH Muhammad Hafiz tiba di Jabatan Forensik HRPB malam tadi. FOTO Balqis Jazimah Zahari
JENAZAH Muhammad Hafiz tiba di Jabatan Forensik HRPB malam tadi. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Berita berkaitan

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh [METROTV]

Kenderaan tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

Ada lagi kenderaan tertimbus selain lori, Toyota Vellfire

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Mayat pemandu MPV dihantar ke Jabatan Forensik HRPB

'Saya tahu, ada sesuatu yang berlaku kepada adik saya'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 1:11 AM