Halimah (kanan) ketika program menyampaikan kotak bantuan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di Ladang Tanah Merah, Chuah, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Halimah (kanan) ketika program menyampaikan kotak bantuan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di Ladang Tanah Merah, Chuah, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Khidir Zakaria


Port Dickson: Pencapaian membanggakan apabila seramai 462,586 individu sudah menerima suntikan vaksin menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di seluruh negara sehingga 31 Ogos lalu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia membabitkan 281,938 individu menerima dos pertama manakala selebihnya melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sejak program itu mula dilaksanakan pada 26 Jun lalu.

"Pasukan MOVAK menggunakan 25 bas untuk pergi ke kawasan ladang terpencil dan jauh dari lokasi

pusat pemberian vaksin. Tumpuan utama kita adalah pekerja ladang tanpa mengira bangsa.

"Saya harap melalui program dengan kerjasama termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 negeri akan membantu meningkatkan kadar imunisasi sekali gus negara mampu mencapai imuniti kelompok dengan segera," katanya selepas menyampaikan 150 kotak bantuan makanan melalui Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) kepada kaum India berpendapatan rendah (B40) di sini, tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa serta pemimpin setempat.

Dalam pada itu, Halimah berkata, pihaknya sedia menambah peruntukan bantuan makanan kepada masyarakat India B40 di seluruh negara terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Setakat ini peruntukan sedia ada adalah sebanyak RM12.4 juta yang dimanfaatkan 73,883 keluarga.

"Program ini akan kita lakukan secara berterusan, banyak negeri masih berada di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara, jadi sudah tentu bantuan makanan ini akan terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Halimah berkata program bantuan makanan itu juga adalah antara fokus di bawah 'KPI 100' kementerian selain program lain membabitkan gerak kerja ejen perpaduan termasuk kawasan rukun tetangga dan Skuad Uniti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 8:12 PM