BEKAS pesakit COVID-19, Siti Nuraisyah Ibrahim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
BEKAS pesakit COVID-19, Siti Nuraisyah Ibrahim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Wabak ini (Covid-19) bukan mainan sebaliknya nyawa jadi taruhan. Perasaan takut dan tertekan sentiasa terlintas dalam fikiran," kata bekas pesakit Covid-19, Siti Nuraisyah Ibrahim, 33.

Siti Nuraisyah Ibrahim berkata, setiap kali terbaca artikel kematian pesakit Covid-19 yang meninggal dunia atau akan ditidurkan, dia akan diserang panik secara tiba-tiba, namun cuba untuk mengawal diri dan tidak terlalu mengikut perasaan kerana bimbang akan menjejaskan kesihatan.

Berkongsi pengalamannya, Siti Nuraisyah berkata, selamat empat hari dirawat di Hospital Machang, ia mengingatkan dirinya dan masyarakat supaya tidak mengambil mudah pandemik yang 'menyerang' seluruh dunia ketika ini.

"Bimbang mendapat komplikasi yang lebih serius sebaik disahkan positif, saya akur dengan setiap arahan yang diberikan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan diri kembali sembuh dan bebas daripada wabak ini.

"Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu dan sampai sekarang saya trauma kerana menjadi mangsa dan Covid-19 yang benar-benar wujud.

"Wabak ini amat menyakitkan terutama apabila saya melihat sendiri pesakit lain yang mengalami sesak nafas sehingga memerlukan bantuan pernafasan, malah terdapat juga pesakit hampir kemurungan kerana tahap ketahanan mental jatuh disebabkan terpaksa berdepan dengan mereka yang memandang serong dan paranoid kepada pesakit Covid-19," katanya ketika ditemui di Kampung Langgar.

Anak sulung daripada 11 beradik ini berkata, dia dijangkiti wabak Covid-19 pada Jun lalu selepas ibu, ayah, adik iparnya serta adik-beradiknya disahkan positif wabak itu.

Menurutnya, sebahagian daripada ahli keluarga ditempatkan di hospital dan juga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Dalam kalangan ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19, doktor memberitahu saya berada dalam kategori tiga apabila hasil daripada ujian X-ray yang diambil menunjukkan kedua-dua paru-paru saya ditutupi tompokan putih iaitu virus Covid-19.

"Saat dan ketika itu, saya hanya fikirkan antara hidup mati kerana sering kali melihat ada pesakit yang dirawat di wad 'ditidurkan' dan ada meninggal dunia," katanya.

Katanya, selepas sembuh daripada Covid-19, dia masih mengalami kesan sampingan atau Sindrom Post Covid seperti cepat berasa letih, lesu, sukar bernafas selain kurang selera makan.

"Bagaimanapun sokongan dan semangat daripada orang sekeliling banyak membantu dalam proses penyembuhan mahupun selepas bebas daripada wabak ini," katanya yang sudah lengkap mengambil dua dos vaksin semalam sebagai perlindungan diri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 12:50 PM