PESAKIT Covid-19 tahap lima ‘ditidurkan’ untuk diberikan bantuan pernafasan.
PESAKIT Covid-19 tahap lima ‘ditidurkan’ untuk diberikan bantuan pernafasan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BAGAIKAN satu keajaiban apabila pesakit Covid-19 tahap lima yang 'ditidurkan' di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama berminggu-minggu kembali sedar.

Keadaan itu membuatkan ramai ingin mengetahui bagaimana pesakit ini boleh kembali sedar, memandangkan tahap kesihatan mereka sepanjang rawatan adalah kritikal.

Sihat minggu ini mendapatkan Pakar Perunding Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

Menurutnya, kebiasaannya pesakit Covid-19 yang ditidurkan akan diberikan ubat tidur seperti midazolam dan morfin.

Sepanjang tempoh itu, mereka bergantung dengan mesin bantuan pernafasan untuk bernafas.

"Apabila doktor berasakan paru-paru pesakit sudah sembuh dan boleh bernafas dengan sendiri maka pemberian ubat itu dihentikan.

"Kemudian dalam tempoh beberapa minit atau jam (selepas ubat dihentikan), pesakit yang ditidurkan ini boleh sedar dengan sendirinya," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, lazimnya pesakit yang baru sedar akan berada dalam keadaan keliru kerana mereka kurang jelas dengan situasi sebenar dan keberadaannya sama ada di hospital atau tempat lain.

"Mereka berada dalam fasa ini (keliru) selama beberapa jam atau hari dan selepas itu mula memberikan tindak balas seperti biasa.

"Tiub pernafasan di saluran trakea akan ditanggalkan dan digantikan dengan bantuan oksigen biasa seperti 'nasal prong oxygen', 'BiPAP oxygen' atau mesin bantuan pernafasan lain yang tidak invasif," katanya.

Ditanya adakah paru-paru yang rosak akibat jangkitan virus Covid-19 akan pulih seperti sedia kala, Dr Nurul Yaqeen berkata, ia bergantung kepada sebanyak mana tahap paru-paru yang terjejas.

"Adakah terjejas sebanyak 25 peratus, 50 peratus dan 75 peratus. Paru-paru yang mengalami keradangan ringan iaitu 25 atau 50 peratus mempunyai peluang pulih.

‘NASAL prong oxygen’ menggantikan mesin ventilator selepas pesakit kembali sedar.
‘NASAL prong oxygen’ menggantikan mesin ventilator selepas pesakit kembali sedar.

"Saya pernah melihat beberapa kes yang pesakit mengalami kerosakan paru-paru 75 peratus, tetapi masih boleh sembuh dengan syarat mengambil ubat dan melakukan rawatan rehabilitasi disarankan," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, bagi kes paru-paru yang mengalami kerosakan teruk, kebanyakannya membabitkan keradangan organ itu lebih daripada 75 peratus dan pesakit memerlukan bantuan mesin ventilator agak lama.

Katanya, jika pesakit ini berjaya disedarkan dan mesin ventilator ditanggalkan, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah serta menjalani kehidupan seperti biasa.

"Namun, ada syarat yang perlu mereka patuhi iaitu memiliki bekalan bantuan oksigen di rumah.

"Contoh, menggunakan 'home oxygen concentrator', sekurang-kurangnya tiga liter per minit.

GAYA hidup sihat membantu meningkatkan imuniti badan.
GAYA hidup sihat membantu meningkatkan imuniti badan.

"Keperluan ini dikhususkan kepada pesakit kategori empat dan lima yang masih memerlukan bantuan oksigen, yang pulang ke rumah selepas sedar daripada ditidurkan," katanya.

Jelas Dr Nurul Yaqeen, kebanyakan pesakit boleh berhenti menggunakan oksigen itu dalam tempoh kurang daripada sebulan.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada sejauh mana keterlibatan paru-paru yang terjejas itu.

"Lagi kurang paru-paru yang terjejas maka lebih cepat penyembuhan dan begitulah sebaliknya.

"Mungkin kesan lain yang akan pesakit ini alami ialah lemah tangan dan kaki kerana mereka ditidurkan agak lama. Tetapi dengan latihan serta rawatan rehabilitasi, kebanyakannya boleh menjalani hidup seperti biasa," katanya.

Kata Dr Nurul Yaqeen, bagi pesakit Covid-19 yang paru-parunya rosak teruk dan perlu bergantung dengan mesin ventilator sepenuhnya, kebanyakan mereka tidak boleh bertahan lama iaitu hanya sekitar dua hingga tiga bulan sebelum meninggal dunia.

"Ini disebabkan jangkitan kuman dan bakteria pada paru-paru yang turut mengakibatkan serangan jantung serta masalah darah beku terhadap organ berkenaan (paru-paru). Apabila organ lain seperti buah pinggang dan otak turut terkesan, ini juga boleh membawa maut.

"Ini adalah antara punca kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 peringkat lima, terutamanya yang tidak dapat bertahan dengan jangkitan itu," katanya.

Dr Nurul Yaqeen berkata, bekas pesakit Covid-19 tidak semestinya perlu bergantung dengan ubat-ubatan sepanjang hayat.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan pesakit Covid-19 yang beliau rawat, majoriti daripada mereka hanya perlu bergantung dengan ubat-ubatan selama satu setengah bulan dan maksimum tiga bulan.

"Lazimnya setelah dua hingga tiga bulan, mereka boleh menjalani hidup seperti biasa tanpa perlu bergantung kepada ubat-ubatan.

"Rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit Covid-19, terutama kategori empat dan lima adalah berbentuk steroid.

"Kita berikan rawatan seperti steroid, kalsium, vitamin D secara berkala selama beberapa minggu, bergantung kepada tahap keseriusan paru-paru yang terjejas," katanya.

Menyentuh penggunaan ubat yang dijual dalam talian bagi menguatkan paru-paru apabila dijangkiti virus Covid-19, Dr Nurul Yaqeen berkata, setakat ini beliau belum menemui sebarang kajian saintifik yang menyokong keberkesanan penggunaan ubat berkaitan.

Menurut Dr Nurul Yaqeen, sehingga kini kajian dilakukan adalah untuk melihat kesan rawatan kepada pesakit yang berada di hospital.

"Risiko mengambil ubat menguatkan paru-paru ini bergantung kepada apakah ubat atau makanan tambahan yang diambil itu.

"Sebenarnya saya tidak begitu menyokong tindakan mengambil ubat-ubatan tradisional atau herba kerana kebiasaannya, ubat-ubatan ini mengandungi campuran steroid tidak terkawal.

"Bahkan ada juga yang mengandungi merkuri dan bahan toksik lain yang tidak dinyatakan di dalam kandungan produk.

"Jadi apabila seorang pesakit mengambil steroid dalam jumlah tidak terkawal dan tanpa pengawasan, ia memang berbahaya dan akan menyebabkan pelbagai kesan buruk.

"Contoh, masalah seperti 'cushing syndrome', 'addison's crisis', kencing manis, darah tinggi, ulser perut, tulang rapuh, kerosakan fungsi hati, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.

"Oleh itu, elakkan daripada mengambil ubat-ubatan tradisional dan herba yang tidak pasti kandungannya," katanya.

Kata Dr Nurul Yaqeen, tiada makanan tertentu yang boleh menguatkan fungsi paru-paru.

Bagaimanapun, Dr Nurul Yaqeen menyarankan supaya mengambil makanan seimbang, berkhasiat serta mengamalkan konsep pinggan sihat Malaysia, iaitu 'suku-suku separuh' seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia membabitkan seperempat pinggan mengandungi karbohidrat

, seperempat pinggan mengandungi protein dan setengah pinggan mengandungi sayur-sayuran serta buah-buahan.

"Kurangkan makanan ringan, makanan segera, makanan bergoreng dan makanan berlemak. Lebihkan makan makanan yang dimasak secara merebu

s, buah-buahan dan sayur-sayuran serta kerap bersenam iaitu sekurang-kurang 20 hingga 30 minit sehari.

"Dapatkan tidur yang mencukupi iaitu tujuh hingga lapan jam sehari, amalkan teknik menyelesaikan masalah tekanan dengan berkesan.

"Semua gaya hidup sihat ini boleh membantu menguatkan imuniti badan sekali gus mengelakkan paru-paru daripada terkena jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:00 AM