SARAH Nuranti (kanan) bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
SARAH Nuranti (kanan) bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Kuala Terengganu: "Alhamdulillah, Allah bagi peluang kedua untuk saya meneruskan kehidupan bersama keluarga tersayang," kata bekas pesakit Covid-19, Sarah Nuranti Taufik Iksan.

Sarah, 29, dari Kampung Bukit Tunggal mengakui pengalaman dijangkiti virus Covid-19 ketika hamil 31 minggu anak sulung menjadi pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya.

Katanya, dia dan suaminya Muhammad Farid Najmi Khaleb, 30, tidak menyangka terpaksa melalui ujian berat itu di saat menanti kelahiran buah hati mereka.

"Pada peringkat awal mengetahui keputusan saringan Covid-19 positif, saya seperti tidak percaya dan menangis risau keadaan anak dalam kandungan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengimbas kembali kenangan pahit itu, dia dimasukkan ke wad saringan Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, selepas menjadi kontak rapat kepada suami pada 11 Julai lalu.

"Jika diikutkan suami sangat berhati-hati dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) apabila keluar rumah kerana bimbang keadaan saya berbadan dua, namun akhirnya saya disahkan positif pada petang 12 Julai lalu dan dihantar ke wad pesakit Covid-19.

"Mulanya doktor maklumkan saya cuma tahap dua, namun virus sangat cepat merebak ke paru-paru hingga oksigen turun mendadak dan disahkan sudah berada di tahap lima pada 15 Julai lalu.

"Pada 16 Julai, saya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disebabkan keadaan oksigen semakin merosot pada keesokkannya, doktor mengambil keputusan mengeluarkan bayi pra matang saya pada usia 31 minggu lima hari," katanya.

Sarah berkata, dia terpaksa menjalani prosedur intubasi dan ditidurkan selama lapan hari untuk memastikan paras oksigen kembali normal.

"Alhamdulillah selepas sedar, saya diberitahu bayi perempuan saya seberat 1.89 kilogram selamat dilahirkan.

"Anak saya, Dian Marissa dibenarkan keluar dari wad pada 5 Ogos manakala saya 8 Ogos lalu," katanya.

Katanya, proses pemulihan bagi pesakit asma sepertinya mengambil masa agak lama untuk sembuh ditambah terdapat darah beku dalam saluran darah.

"Saya juga mudah penat, bernafas pun termengah-mengah sehingga terpaksa meminta bantuan orang lain untuk menguruskan keperluan harian.

"Buat masa sekarang, anak saya dijaga oleh ibu sehingga saya pulih sepenuhnya.

"Saya juga perlu melakukan beberapa rawatan susulan setiap bulan serta berpantang makan untuk mempercepatkan proses pemulihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:10 PM