PEGAWAI perubatan menunjukkan kuantiti vaksin kepada penerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Hazreen Mohamad
PEGAWAI perubatan menunjukkan kuantiti vaksin kepada penerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Hazreen Mohamad
BERNAMA

Putrajaya: Penjawat awam di Kementerian Pendidikan (KPM) dipercayai paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika ini masih mengemas kini data penjawat awam yang belum divaksinasi dan proses itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya, JPA sedang memadankan data mereka yang belum divaksinasi menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dan aplikasi MySejahtera daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Setakat hari ini, data sedang dikemas kini dan JPA akan padankan balik apakah alasan yang diberikan untuk mereka dikecualikan daripada vaksinasi.

"Alasan yang diberikan ini kemudiannya akan dirujuk oleh setiap ketua jabatan… jadi ketua jabatan perlu turun ke bawah melihat dan memahami apa alasan yang diberikan untuk tidak divaksinasi," katanya ketika ditemui selepas Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di sini, hari ini.

JPA dalam pekeliling sebelum ini mewajibkan penjawat awam termasuk guru untuk mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 November, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Pada 1 November lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, pengurusan sekolah dibenar memeriksa sijil vaksinasi guru serta merta bagi memastikan tiada guru yang culas dalam mematuhi pekeliling dikeluarkan JPA yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Adib berkata, setakat ini, tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang enggan menerima vaksin Covid-19.

"Kita faham, ada yang khuatir, takut terima vaksin, dan ada yang tak boleh terima kerana mereka pesakit kanser, baru bersalin dan dijangkiti Covid-19. Kumpulan ini diberi pengecualian," katanya.

Beliau berkata, ketua jabatan juga perlu membuat keputusan yang baik berhubung isu berkenaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terhadap masyarakat tidak terjejas.

"Kadang-kadang ketua jabatan terpaksa bertegas kerana perlu perkhidmatan yang ada, tidak terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:15 PM