Dr Radzi (dua kiri) diiringi Guru Besar SK Haji Nyak Gam, Mohd Rosli Hassan (empat kiri) ketika meninjau keadaan sekolah yang terjejas berikutan kejadian fenomena kepala air Gunung Jerai. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Dr Radzi (dua kiri) diiringi Guru Besar SK Haji Nyak Gam, Mohd Rosli Hassan (empat kiri) ketika meninjau keadaan sekolah yang terjejas berikutan kejadian fenomena kepala air Gunung Jerai. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM2.4 juta untuk kerja membaik pulih empat sekolah di daerah ini yang terjejas teruk akibat bencana kepala air dan banjir lumpur pada 18 Ogos lalu.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, empat sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) York Khoon dan SK Haji Nyak Gam.

"Peruntukan RM2.4 juta untuk sekolah ini bagi membaiki pulih kemudahan yang rosak serta menggantikan aset yang terjejas akibat banjir di daerah Yan.

"Kita akan pastikan pelaksanaan projek kecil ini dapat dibuat secepat mungkin bagi memastikan sekolah dalam keadaan baik dan tersedia sebelum pembukaan kembali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke SK Haji Nyak Gam di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak , Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, peruntukan bagi sekolah terbabit adalah mengikut keperluan dan jumlahnya adalah berbeza.

"Saya sudah maklumkan kepada Pengarah Pendidikan Kedah dan Ketua Setiausaha KPM supaya bahawa kerosakan berlaku dipulihkan segera, ini kerana ada sekolah yang ditenggelami lumpur sehingga paras setengah meter" katanya.

Sementara itu, Radzi mengumumkan pembukaan sekolah pada 3 Oktober depan akan dilaksana mengikut fasa dan kaedah tertentu yang akan dijelaskan kepada umum selepas selesai sesi libat urus antaranya bersama pihak pengurusan sekolah serta guru.

"Kita sedang adakan sesi libat urus, apabila selesai kita akan duduk balik dengan Kementerian Kesihatan berdasarkan pandangan dan input yang kita terima, daripada situ kita umumkan apakah kaedahnya.

"Sekolah tidak akan dibuka serentak, ia dibuka secara berperingkat atau fasa yang kita aturkan. Kita akan jelaskan satu persatu, ia satu pelan yang komprehensif termasuk prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dilaksana.

"Kita juga ada pelan alternatif sekiranya berlaku penularan Covid-19 di sekolah, ia akan dijelaskan nanti," katanya.

Dr Radzi ketika meninjau keadaan sekolah yang terjejas berikutan kejadian fenomena kepala air Gunung Jerai. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Dr Radzi ketika meninjau keadaan sekolah yang terjejas berikutan kejadian fenomena kepala air Gunung Jerai. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 1:06 PM