KEADAAN banjir di sekitar pekan Donggongon, Penampang. FOTO ihsan APM
KEADAAN banjir di sekitar pekan Donggongon, Penampang. FOTO ihsan APM
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir beberapa daerah di Sabah meningkat kepada 96 orang membabitkan 31 keluarga pagi ini, berbanding 68 mangsa daripada 21 keluarga, petang semalam.

Setakat 9 pagi tadi, tiga daerah dilanda banjir iaitu Beaufort, Sipitang dan Penampang.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, Beaufort kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 78 orang membabitkan 26 keluarga.

"Semua penduduk terjejas banjir ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir.

"Daerah Sipitang kekal merekodkan jumlah mangsa banjir sama seperti hari sebelumnya itu 15 orang daripada empat keluarga yang kini berada di PPS Dewan Mini Mesapol.

"Dalam pada itu, hanya terdapat tiga orang penduduk melibatkan satu keluarga sahaja setakat ini yang dipindahkan ke PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jurucakap APM Sabah menyatakan pihaknya bersama agensi keselamatan berkaitan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana alam banjir di seluruh negeri ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 10:24 AM