GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yun Mikail


Beaufort: Seramai 54 mangsa banjir di dua daerah di Sabah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.

Setakat jam 9 pagi tadi, ia membabitkan 17 keluarga bagi daerah Beaufort dan Sipitang.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, seramai 39 mangsa banjir daripada 13 keluarga mula dipindahkan ke PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir.

"Terdapat juga beberapa orang mangsa dari daerah kecil Membakut, namun mereka turut dipindah ke PPS sama di Beaufort.

"Selain itu, 15 mangsa terdiri daripada empat keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol, Sipitang," katanya.

Beliau berkata, penduduk terjejas di daerah Beaufort dipindahkan ke PPS pada 9.20 malam tadi dan mangsa di Sipitang, sudah dipindahkan mulai 5.35 petang.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang awam khususnya penduduk kampung berhampiran sungai dan di kawasan rendah supaya peka dengan situasi semasa berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 9:45 AM