GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Polis menyelamatkan seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik rakan senegaranya dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh, semalam.

Dia memaklumkan pekerjanya berusia 39 tahun hilang dipercayai diculik sejak 27 Ogos lalu selepas diberitahu isteri mangsa yang berada di Bangladesh.

"Dalam kejadian ini, mangsa dilarikan oleh dua lelaki warga Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria sebelum menghubungi isteri mangsa yang berada di Bangladesh untuk memasukkan wang berjumlah sejuta Taka (kira-kira RM50,000) ke dalam akaun bank Bangladesh.

"Isteri mangsa yang ketakutan kemudian melakukan transaksi berkenaan ke atas satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, bagaimanapun, selepas tiga hari diculik, suspek meminta tambahan sebanyak satu juta Taka (kira-kira RM50,000) untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan di tempat tidak diberitahu.

"Akibat kehabisan duit, isteri mangsa menghubungi pengadu untuk meminta bantuan.

"Bertindak atas maklumat itu, kami menahan empat suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun di hadapan kedai di TTDI Grove Kajang kurang daripada 24 jam selepas aduan dibuat oleh pengadu," katanya.

Beliau berkata, hasil pandu arah oleh suspek membawa pihak polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi Kajang.

"Kami menemui mangsa di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dengan kedua-dua tangannya bergari, manakala kedua kakinya dirantai serta dikunci dengan mangga.

"Semasa mangsa diselamatkan, seorang wanita warga tempatan yang juga isteri kepada salah seorang suspek turut ditahan," katanya.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang, hari ini, bagi tujuan permohonan reman.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit serta salah dan melakukan pemerasan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diminta tampil membantu polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor K Suresh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 8:57 AM