MOHD Zaid menunjukkan parang yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap suspek kes samun klinik pergigian di Bandar Seri Putra Bangi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
MOHD Zaid menunjukkan parang yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap suspek kes samun klinik pergigian di Bandar Seri Putra Bangi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Terdesak memerlukan wang kerana tidak berkerja selepas dua bulan dibebaskan dari tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), seorang lelaki bertindak menyamun sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra Bangi, pada 7 November lalu.

Malah, lelaki berusia 36 tahun berkenaan turut mengajak rakan serumahnya untuk menyamun premis terbabit sebelum tembelang terbongkar selepas mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, hasil maklumat diterima daripada orang awam, pihaknya menahan empat lelaki termasuk seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita tempatan berusia antara 22 hingga 47 tahun dalam serbuan di sekitar daerah ini jam 4.58 petang, semalam.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas parang, motosikal Yamaha R15, pakaian, helmet, barang kemas, beberapa telefon bimbit serta komputer riba yang dipercayai dilarikan dalam kejadian samun berkenaan.

"Selain dua suspek utama, kami turut menahan bekas isteri kepada salah seorang mereka yang memiliki barang kemas hasil samun dan seorang lelaki warga Bangladesh yang membeli telefon bimbit (hasil samun).

"Seorang lagi suspek lelaki yang ditahan adalah serta rakan serumah mereka yang juga pemilik motosikal yang digunakan ketika kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil soal siasat dilakukan terhadap dua suspek utama mendapati mereka melakukan kegiatan itu kerana terdesak memerlukan wang dengan kedua-duanya tidak bekerja.

"Semakan dilakukan mendapati suspek pertama baru sahaja dibebaskan dari tahanan POCA pada September lalu dan memiliki 12 rekod jenayah berkaitan kes samun serta dadah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lima suspek yang ditahan mendapati empat daripada mereka positif dadah kecuali lelaki warga Bangladesh terbabit," katanya.

Beliau berkata, semua suspek terbabit direman selama lima hari bermula hari ini hingga 14 November nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

"Dengan penahanan semua suspek berkenaan, kami yakin dapat menyelesaikan kes samun klinik pergigian terbabit dan masih menyiasat pembabitan mereka berkenaan dengan kes lain.

"Setakat ini, kami sudah berjaya menyelesaikan dua kes samun membabitkan klinik di daerah ini pada tahun ini termasuk kes berkenaan," katanya.

MOTOSIKAL digunakan suspek dalam kejadian samun yang dirampas pihak polis.
MOTOSIKAL digunakan suspek dalam kejadian samun yang dirampas pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 12:35 PM