SKUAD Tahjiz JHEAINS ketika melaksanakan proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale. FOTO Mohd Amin Jalil
SKUAD Tahjiz JHEAINS ketika melaksanakan proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Rasa sebak dan sedih bila melihat jenazah yang saya uruskan itu adalah rakan baik sendiri," ujar penolong operasi pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Z Affendi Zakaria.

Menurutnya, itulah situasi yang dihadapinya sejak bertugas dalam pasukan Tajhiz sebaik pandemik Covid-19 melanda negara ini Mac tahun lalu.

Katanya, tugas menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 bukan mudah sebaliknya ia adalah mencabar apatah lagi perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

"Tiada istilah penat kerana kami perlu sentiasa bersedia dalam setiap masa sekalipun pada waktu tengah malam atau awal pagi, berikutan kematian membabitkan pesakit Covid-19 tidak tentu masa.

"Malah, ada kes yang meninggal dunia akibat Covid-19 ini berturutan dalam satu-satu masa. Ini menyebabkan ada kalangan kami di bahagian forensik yang perlu memakai PPE selama lebih dua jam.

"Ini kerana setiap jenazah Covid-19 perlu dibawa ke tanah perkuburan dan dikebumikan secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas majlis penghargaan kepada petugas barisan hadapan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Perpaduan Taman Seri Pagi 2, Senawang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Seremban, Mohd Fazli Ibrahim, Pengerusi TABIKA berkenaan, Ahmad Hairil Azmeir; Guru TABIKA Norma Rahmat dan Penolong guru, Che Mahzom Man.

Mohd Z Affendi berkata, sepanjang tempoh dua bulan sejak Jun lalu, skuad Tajhiz sudah menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 bagi daerah ini membabitkan seramai 400 jenazah.

"Ia tidak termasuk 99 jenazah yang dikebumikan sebelum itu di Makam Haji Mohd Said Sikamat di sini," katanya.

Menurutnya, setakat ini lima kumpulan diwujudkan di daerah ini dengan tambahan dua kumpulan mulai semalam, dengan keanggotaan seramai 80 orang.

Katanya, tugasan bermula dari jam 9 pagi hingga 9 pagi keesokannya.

"Setiap satu pasukan mengandungi 14 anggota diletakkan dalam siap siaga 24 jam dengan empat orang ditempatkan di bahagian forensik hospital bagi menjalankan urusan tayammum, kafan dan solat jenazah, manakala 10 lagi untuk menguruskan pengebumian," katanya.

Beliau berkata, keadaan panas di dalam PPE antara cabaran utama yang terpaksa dihadapi khususnya jika jenazah diuruskan pada waktu siang dalam cuaca panas dan boleh terdedah kepada terkena strok haba.

Menurutnya lagi, ada ketikanya skuad berkenaan perlu mendapatkan khidmat pasukan bomba dan penyelamat bagi pesakit yang obesiti.

"Dalam liang memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang manakala yang lain membantu dari bahagian atas tanah perkuburan ketika pengebumian dijalankan," katanya menambah waktu malam dan hujan lebat paling mencabar.

Mohd Z Affendi menyifatkan pembabitan beliau dalam skuad Tahjiz itu suatu pengalaman yang cukup berharga dalam hidupnya.

"Apabila saya diamanahkan untuk menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 ini baru saya dapat rasakan kesukaran dan cabaran termasuk ketika memakai PPE," katanya yang memaklumkan JHEAINS memberikan perkhidmatan percuma bagi urusan pengebumian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 3:28 PM