GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk aktiviti konvoi kenderaan atas sebarang tujuan kerana dibimbangi berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) khususnya penjarakan fizikal.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketetapan itu selaras dengan penetapan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandukan kenyataan dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, kelmarin.

Beliau berkata, selain konvoi kenderaan, pihaknya juga menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada melakukan sebarang sesi perjumpaan di lokasi tumpuan selain mematuhi segala SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Aktiviti konvoi kenderaan oleh kelab atau kumpulan sewaktu negara sedang berdepan dengan varian Delta Covid-19 tidak dilakukan terutama di negeri Fasa 1 dan 2 PPN.

"Justeru orang ramai dinasihat agar tidak memohon melakukan aktiviti itu sepanjang tempoh PPN sehinggalah dibenarkan untuk berbuat demikian kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus memantau pematuhan SOP yang sedang berkuat kuasa dan akan mengenakan kompaun kepada sesiapa yang gagal mematuhinya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, aktiviti konvoi berkenderaan dibenarkan dilaksanakan di Perak terutama bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan mendapat kebenaran daripada MKN dan PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:20 AM