Sekitar lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Johan Setia, Kampung Johan Setia. FOTO IHSAN Pejabat Daerah Klang
Sekitar lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Johan Setia, Kampung Johan Setia. FOTO IHSAN Pejabat Daerah Klang
Ruwaida Md Zain


Klang: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Johan Setia, Kampung Johan Setia, di sini, yang bermula semalam sehingga 13 Julai depan membabitkan 284 warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, daripada jumlah itu, seramai 156 orang didapati positif Covid-19, manakala baki 128 orang adalah kontak rapat.

"Keutamaan saringan penghuni asrama dalam masa terdekat. Saringan kontak rapat sedang dibincang lebih terperinci oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang bersama majikan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut mengenai PKPD terbabit katanya, CLQ ini berkeluasan 3.32 ekar (1.32 hektar) dan mempunyai parameter sepanjang 493.1 meter.

"Terdapat empat blok kuarters pekerja yang menempatkan seramai 284 pekerja tapak bina LRT (Transit Aliran Ringan) 3 di bawah Syarikat Sunway Construction.

"Pelaksanaan PKPD ini susulan kes positif Covid-19 terus meningkat dalam tempoh 12 hari di lokasi berkenaan.

"Pelaksanaan PKPD itu juga bagi memudahkan aktiviti saringan kontak dan menyekat pergerakan keluar masuk orang ramai dari kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, pelaksanaan PKPD di kawasan itu membabitkan kekuatan kira-kira 80 kakitangan pelbagai agensi antaranya Pejabat Daerah Klang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, PKPD berkenaan tidak membabitkan warga tempatan, sebaliknya semua pekerja adalah warga Indonesia dan Bangladesh.

"Setiap blok kuarters pekerja di mana setiap kuarters dipasang kawat duri di mana pegawai dan anggota melakukan kawalan pergerakan supaya pekerja tidak bergerak di antara kuarters.

"Setiap kuarters terdiri daripada 24 bilik pekerja, di mana maksimum penghuni setiap bilik empat orang tetapi kebanyakannya tidak penuh dan selesa," katanya ketika dihubungi.

Shamsul Amar berkata, penugasan 24 jam dilaksanakan dengan bantuan kawalan oleh ATM, JPAM, MPK Rela.

Ahad lalu, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat lokaliti dikenakan PKPD di Selangor membabitkan CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang; Taman Murni, Sepang; Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 8:35 AM