FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), menggesa semua ketua jabatan mengenal pasti petugas yang tidak mendaftar atau masih belum menerima suntikan vaksin.

Presidennya Adnan Mat berkata, proses mengenal pasti itu perlu dilakukan segera, bagi membolehkan maklum balas diterima mengenai punca mereka masih belum mendaftar.

Katanya, pihaknya mengambil maklum 2.2 peratus penjawat awam masih tidak mendaftar bagi suntikan vaksin Covid-19, namun terlalu awal untuk membuat rumusan golongan itu menolak vaksinasi.

"Terdapat kemungkinan penjawat awam ini belum mendaftar kerana mempunyai alahan, mengandung, atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, ketua jabatan perlu mengadakan sesi pertemuan dengan petugas masing-masing, selepas proses mengenal pasti bagi mengetahui dan menyelesaikan permasalahan dihadapi petugas mereka, sekali gus dapat menyampaikan maklumat berkaitan kebaikan vaksin.

Sementara itu, pihaknya juga berharap kerajaan dapat menyegerakan proses vaksinasi bagi individu telah mendaftar termasuk 30,000 penjawat awam, yang belum memperoleh tarikh janji temu.

Dalam hal ini, katanya, Cuepacs melihat pelaksanaan PPV (pusat pemberian vaksin) bergerak ke premis dan jabatan kerajaan, boleh menyelesaikan proses vaksinasi 30,000 penjawat awam yang belum lagi mendapat janji temu.

"Setiap jabatan mempunyai data kakitangan yang lengkap dan proses ini boleh berjalan dengan lancar sekiranya, proses vaksinasi dilakukan di premis kerajaan, selain dapat mengelakkan kesesakan," katanya.

Adnan turut menasihati penjawat awam, untuk tidak mengabaikan tanggungjawab mereka menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan seterusnya memastikan persekitaran selamat di jabatan masing-masing.

Katanya, keengganan pihak tertentu untuk divaksin hanya akan mendedahkan risiko kepada rakan sekerja, sehingga mewujudkan persekitaran tidak selamat di tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 4:26 PM