VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
BERNAMA

Seoul: Korea Selatan pada Jumaat menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Pfizer Inc. untuk membeli 30 juta dos vaksin Covid-19 yang akan diterima tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 60 juta dos, kata pihak berkuasa kesihatan di sini.

Perjanjian itu adalah susulan kepada perjanjian awal yang ditandatangani pada Ogos yang menjamin 30 juta dos vaksin dan tambahan 30 juta dos, lapor Agensi Berita Yonhap menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Kontrak itu adalah sebahagian daripada rancangan Korea Selatan untuk memperoleh bekalan vaksin yang mencukupi bagi menampung keperluan suntikan dos pertama untuk 52 juta penduduk negara itu tahun depan, menurut KDCA.

Pada Jun, negara itu memulakan persiapan bagi mendapatkan lebih banyak vaksin untuk tahun depan memandangkan pandemik Covid-19 dijangka berterusan meskipun selepas negara itu mencapai imuniti kelompok.

Sejak melancarkan program vaksinasinya pada penghujung Februari, seramai 76.1 peratus penduduk Korea Selatan telah lengkap divaksin dan 80.6 peratus menerima suntikan pertama mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:09 PM