GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menafikan mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa berlaku penularan Covid-19 varian Delta di beberapa kawasan di negeri ini.

Menurut kenyataan JKNPP, mesej itu juga memaklumkan kononnya jabatan itu telah mengenal pasti 180 individu di kawasan Georgetown dijangkiti varian itu, sedangkan perkara itu tidak betul.

"Berita palsu yang disebarkan menerusi WhatsApp itu memaklumkan orang ramai supaya mengelak pergi ke kawasan Lebuh Light, Jalan Pantai, Lebuh Victoria, Lebuh King, Lebuh Queen, Lebuh Chulia, Lebuh China, Lebuh Pasar, Jalan Gereja, Pengkalan Weld, Gat Lebuh Gereja, Gat Lebuh Pasar dan Gat Lebuh Chulia kerana berlaku penularan varian Delta," kata JKNPP dalam kenyataan di laman Facebook rasmi jabatan itu hari ini.

Berita palsu berkenaan turut mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan berikutan penularan varian Delta di Georgetown yang kini diklasifikasikan sebagai zon merah.

JKNPP menegaskan semua mesej yang ditularkan itu adalah tidak benar dan orang ramai diminta tidak menyebarkan berita palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 5:09 PM