BERNAMA

Tumpat: Meskipun negara masih dilanda pandemik Covid-19, dua anak kecil, Syazwani Amran, 10, dan Nor Maizira Wan Aman, 9, tetap bersemangat memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64, tahun ini.

Menggunakan waktu terluang, Syazwani berkata, mereka mula memasang Jalur Gemilang di sekitar gerai makan milik ibunya di Pantai Geting dekat Pengkalan Kubor di sini, sejak awal bulan lalu.

Katanya, gerai makan itu terletak di kawasan pantai dan angin bertiup membuatkan bendera berkibar dan 'mewarnai' kedai makan ibunya supaya kelihatan menarik.

"Sehingga kini saya bersama sepupu sudah memasang lebih 100 Jalur Gemilang bersaiz kecil.

"Mungkin selepas ini dengan sokongan ibu, saya akan memasang Jalur Gemilang bersaiz agak besar supaya kelihatan lebih menarik apabila berkibar," kata murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Geting di sini.

Sungguhpun masih kecil, Syazwani yang berpendirian dan berfikiran matang berkata, hanya 12 hari lagi negara akan menyambut hari bersejarah itu dan berharap dalam tempoh pandemik Covid-19, tidak akan melunturkan semangat rakyat untuk bersatu menangani wabak itu.

Sepatutnya dalam keadaan seperti ini, katanya, rakyat dapat teguh bersatu dan semangat itu perlu ditunjukkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa.

"Sebagai murid sekolah, kami diajar guru mengenai Hari Kebangsaan dan cara untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara.

"Bagi kami, mengibarkan Jalur Gemilang dan mereka bentuk dengan corak sebegini adalah cara melahirkan rasa bersyukur dengan keamanan negara yang dinikmati sekarang," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 pada 31 Ogos ini bertemakan 'Malaysia Prihatin'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 3:09 PM