Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hamzah Osman


Langkawi: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesyorkan Kerajaan Pusat yang baharu membentuk Kabinet bersaiz kecil dan dianggotai hanya mereka yang berkebolehan serta cekap dalam pentadbiran.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pimpinan baharu kerajaan supaya tidak memperlihatkan kepada umum bahawa tawaran jawatan menteri kepada kepada Ahli Parlimen sebagai sogokan untuk meraih sokongan.

"Saya harap (Kabinet yang akan dibentuk Perdana Menteri baharu) saiznya tak berapa besar, tak macam (Tan Sri) Muhyiddin Yassin punya Kabinet.

"Janganlah tunjuk jawatan menteri itu sebagai satu cara untuk sogok orang (Ahli Parlimen)," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, pemilihan anggota Kabinet sepatutnya dibuat dengan penilaian teliti dan mengambil kira kebolehan serta kecekapan bekerja.

"Untuk menjadi menteri sepatutnya kena ada kebolehan, tidak seperti sesetengah menteri dalam Kabinet Muhyiddin tak kerja apa pun.

"(Mereka) Tidak buat kerja dan cuma dapat gaji sahaja. Janganlah jadi macam itu... (pilih) yang ada kebolehan," katanya.

Semalam media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, senarai nama barisan Kabinet baharu dijangka diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, mengulas mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menutup pintu kepada 'kluster mahkamah' dan ahli politik yang ada sejarah melompat parti.

"Geng 'kluaster mahkamah' tak boleh ada dekat dengan kerajaan (baharu)… sepatutnya mereka diasing dan jangan dipilih jadi Timbalan Perdana Menteri.

"Jawatan Menteri pun mereka tak boleh, malah pemimpin Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun tak boleh.... semuanya katak lompat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 4:32 PM