TUN Dr Mahathir Mohamad
TUN Dr Mahathir Mohamad
Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: Senarai penuh Kabinet di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mempunyai 26 menteri dengan 24 timbalan menteri.

Sejak kelmarin, senarai nama Ahli Parlimen yang dikatakan bakal dilantik menganggotai Kabinet itu viral menerusi media sosial, tetapi sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Senarai terbabit viral menerusi media sosial, selepas Perdana Menteri dalam sidang medianya menyatakan senarai anggota Kabinet sudah dimuktamadkan sebelum Istana Negara dalam kenyataannya memaklumkan istiadat mengangkat sumpah baki barisan Kabinet akan berlangsung pada 2 Julai ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, sudah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet pada 20 Jun lalu, sebelum memberi perkenan dan dikembalikan kepada Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu.

“Pihak istana ingin memaklumkan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet akan diadakan pada 2 Julai di Istana Negara,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam temubual bersama Channel News Asia, berkata pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak membantah nama anggota Kabinet dan timbalan yang disenaraikannya.

“(Saya) memaklumkan kepada pemimpin parti, yang (saya) akan memilih mereka yang tiada dalam senarai mereka dan mereka tidak membantah.

“Saya panggil individu terbabit, menteri dan timbalan menteri dan bertanya kepada mereka adakah terima jawatan yang diberikan, anehnya tiada bantahan,” katanya yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, pada 10 Mei lalu.

Pada 21 Mei pula, 13 anggota Kabinet awal mengangkat sumpah jawatan masing-masing. Mereka diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri yang turut memegang portfolio Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

Berdasarkan senarai diviralkan, baki kementerian yang diwujudkan ialah Kementerian Luar; Kementerian Wilayah; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pembangunan Usahawan; Kementerian Industri Utama; Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Antara pemimpin PH yang viral dilantik menjadi menteri ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah (Kementerian Luar); Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (Kementerian Wilayah); Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamad Din Ketapi (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya) dan Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar).

Turut tersenarai ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abd Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan; Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna)

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, turut disenaraikan dalam viral Kabinet PH itu untuk memegang portfolio Menteri Industri Utama; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian (Menteri Kerjaraya); Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jayakumar (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli) dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Redzuan Yusof (Menteri Pembangunan Usahawan).

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof, pula diviralkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menjaga hal ehwal agama Islam, manakala bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dinamakan sebagai bakal Menteri di JPM untuk urusan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:25 AM