KUALA LUMPUR 28 FEBRUARY 2020. Interim Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad attending the opening International Conference On The Question Of Palestine Southeast Asian Support For The Rights Of The Palestinian People programme at the Kuala Lumpur Convention Centre. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 28 FEBRUARY 2020. Interim Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad attending the opening International Conference On The Question Of Palestine Southeast Asian Support For The Rights Of The Palestinian People programme at the Kuala Lumpur Convention Centre. NSTP/ASYRAF HAMZAH
BH Online

TUN Dr Mahathir Mohamad menjangkakan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu bertahan hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk mentadbir negara, lapor BH Online.

Selepas dapat menubuhkan kerajaan, Dr Mahathir mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu dapat memberikan ‘gula-gula’ kepada ramai orang, malah berjaya menarik beberapa pemimpin untuk menyebelahinya dengan ditawarkan jawatan menteri.

“Kita dulu mempunyai kelebihan 114 kerusi tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang. Jadi dalam Dewan Rakyat kita hendak bawa usul tidak percaya pun tidak mungkin berjaya. Sebabnya dia sudah ambil orang saya menyebelahi dia.

“Memanglah bila dia tawarkan jadi menteri, susah bagi orang nak tolak. Saya tidak boleh tawarkan apa-apa pun,” katanya menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, semalam.

Dalam temu bual yang berlangsung hampir 80 minit itu, Dr Mahathir yang kini menginjak usia 94 tahun menyuarakan harapan supaya Muhyiddin meneruskan dasar-dasar yang dilakukan beliau sepanjang menyandang jawatan Perdana Menteri ketujuh selama 22 bulan.

“Saya minta kalau boleh Kabinet jangan gugurkan dasar-dasar yang baik yang telah kita adakan. Umpamanya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Itu satu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan,” katanya.

Ditanya mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan didalangi gerakan konspirasi, Dr Mahathir menuding jari kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.

“Yang betul-betul berkonspirasi ialah Najib. Apabila dia kalah, maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang.

“Sebab itu dia mencuba dengan begitu lama namun pendekatan beliau tidak berkesan dan akhirnya gagal, akhirnya kami yang menang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Ahli Parlimen Pekan itu dan PAS masih menekankan naratif Melayu-Islam, selain cuba mencari sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menubuhkan kerajaan Melayu-Islam, manakala DAP ‘dianggap sebagai jahat’.

“Kita kena singkirkan DAP, jadi kita kena bekerjasama dengan UMNO. Jadi tiba-tiba orang yang kalah dianggap menang, manakala orang yang menang dikatakan kalah. Ini sebenarnya konspirasi siapa, adakah saya? Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi Perdana Menteri.

“Saya ingat saya jadi Perdana Menteri, bila sampai masanya saya akan letak jawatan dan itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Dr Mahathir mendakwa, Najib mahu mendapatkan kembali kuasa dengan secepat mungkin kerana keputusan perbicaraannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat, selain khuatir bakal berdepan hukuman.

“Jadi itulah konspirasi mereka, macam mana nak jadi kerajaan setelah kalah dengan meyakinkan ahli-ahli Bersatu untuk menyokongnya dan keluar daripada parti Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan jatuh. Sekarang ini mereka dah menang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 11:28 AM