GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan Kelantan akan memulakan suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah berusia 17 dan 18 tahun pada pertengahan September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia bagi membolehkan pelajar memulakan sesi persekolahan yang dijangka dibuka tidak lama lagi.

"Kita membuat perancangan untuk vaksin pelajar sekolah bermula pertengahan September ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Abdul Azziz Kadir (PAS- Jelawat) di Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, untuk mencapai imuniti kelompok yang dijangka pada akhir September atau pertengahan Oktober ini, Kelantan memohon tambahan vaksin sebanyak 200,000 dos daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Katanya, untuk September, Kelantan dijangka mendapat sebanyak 700,000 dos vaksin Covid-19 dan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menambah vaksin untuk Kelantan bagi memastikan negeri ini mencapai imuniti kelompok.

"Setakat Sabtu lalu, jumlah individu yang disuntik vaksin bagi dos pertama ialah sebanyak 54 peratus dan dos kedua 34.4 peratus.

"Ini kerana semakin ramai rakyat negeri ini yang mahu vaksin selepas melihat rakyat kita yang menerima vaksin selamat," katanya.

Beliau berkata, untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan yang terlantar, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memutuskan untuk memberi vaksin dari rumah ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 11:03 AM