DATUK Seri Ismail Sabri. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Ismail Sabri. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan 12 Menteri mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan oleh Baginda sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, merujuk kepada kenyataan media Istana Negaras semalam yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

"Seperti yang saya jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, Kerajaan pintu belakang dan Kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

"Keputusan ini juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran Kerajaan.

"Tindakan menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikan saya diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran Kerajaan.

"Bahkan sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar Kerajaan," katanya.

Beliau berkata, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai Kerajaan.

"Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan supaya Parlimen dibubarkan kerana mendakwa Kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik," katanya.

Katanya, kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.

"Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:10 PM