MOHD Muslim menerima cek berkenaan. FOTO Ihsan Perkeso
MOHD Muslim menerima cek berkenaan. FOTO Ihsan Perkeso
Safuri Kamarudin.


Baling: Seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi kepala air Gunung Jerai, Rabu lalu, Mohd Muslim Sa'ari ,36, layak mendapat beberapa faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarahnya, Mohamad HaronOthman berkata, Mohd Muslim yang bekerja sebagai pembersih Jerai Hill Resort terbabit dalam bencana itu ketika dalam perjalanan pulang kira-kira 4 petang.

Beliau berkata, dia layak mendapat tuntutan faedah kerana ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas di resort berkenaan.

"Dia memang layak mendapat faedah daripada Perkeso dan boleh membuat tuntutan berserta dengan dokumen dan pengesahan pegawai perubatan ketika menerima rawatan di hospital.

"Dia juga mendapat bayaran cuti sakit selama 15 hari mengikut rekod kesihatan yang dikeluarkan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sepanjang tempoh dia tidak bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke rumah Mohd Muslim di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Kupang untuk penyerahan cek berjumlah RM628.44, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Najmi Ahmad yang turut menyerahkan cek berkenaan.

Mohamad Haron berkata, selain itu, segala kos perbelanjaan rawatan yang berkaitan kemalangan sama ada untuk pembedahan atau sebaliknya akan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso sehingga mangsa selesai rawatan.

"Selepas habis bayaran cuti sakit, dia juga boleh membuat tuntutan hilang upaya kekal untuk kecederaan yang dialami," katanya.

Dalam kejadian itu, Mohd Muslim terseliuh bahu kanan, luka mata, pipi kiri dan kanan selepas tergolek beberapa kali sebelum tersangkut di pagar tangki air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 9:08 AM