Gambar fail, kanak-kanak pelbagai bangsa memegang Jalur Gemilang. FOTO Arkib  NSTP.
Gambar fail, kanak-kanak pelbagai bangsa memegang Jalur Gemilang. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersifat inklusif, dekat dengan rakyat dan menunjukkan satu nilai prihatin serta kasih sayang semua ahli keluarga besar negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengenalan frasa Keluarga Malaysia mengajak seluruh rakyat merentasi fahaman politik, tidak kira kaum dan agama untuk mendakap erat prinsip kebersamaan supaya dapat bersama-sama keluar daripada krisis akibat pandemik Covid-19.

Berikutan itu, katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama menghargai persamaan bukan perbezaan supaya dapat mampu membina semula Malaysia.

"Saya amati bait-bait itu, setiap tingkah yang dilakukan umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

"Keringat dan nilai sesuap nasi cukup difahami, beliau sedang berperanan sebagai seorang Perdana Menteri untuk semua, demi menjaga nyawa, keringat dan nilai sesuap nasi semua rakyat Malaysia," kata Ahli Parlimen Lipis itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah berkata, beliau yakin dan percaya, kadar vaksinasi negara yang kini berada pada tahap baik adalah petanda positif pemulihan dan akan terus dapat dilihat dari semasa ke semasa.

"Namun apa yang menarik perhatian saya apabila Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan untuk mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda dalam menjayakan agenda besar pemulihan negara.

"Sememangnya inilah yang menjadi harapan anak muda terhadap kerajaan, supaya suara mereka didengari dan diambil kira dalam kerajaan membuat keputusan untuk negara," katanya.

Mohd Shahar menyambut baik seruan itu dan kerajaan mengamal langkah terkehadapan dalam mendekati golongan belia demi masa depan negara.

"Saya berharap kita seluruh Keluarga Malaysia dapat bekerja bersama-sama dalam usaha membangunkan semula negara kita selepas tamat pandemik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 8:56 PM