MOHD Zamri. FOTO FB Majlis Perbandaran Port Dickson
MOHD Zamri. FOTO FB Majlis Perbandaran Port Dickson
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melaksanakan promosi pengurangan keseluruhan kompaun bermula 1 Januari sehingga 31 Mac ini.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, promosi ini bersempena Ulang Tahun MPPD ke-19 pada 2 Februari ini.

"Selain itu, tempoh pembaharuan lesen perniagaan MPPD dilanjutkan sehingga 31 Mac.

"Promosi ini sebagai mengambil semangat ulang tahun MPPD, kadar pengurangan yang akan diberikan adalah sehingga RM19 bagi semua jenis kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Pengangkutan Jalan 1976," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, promosi itu tidak termasuk enakmen hiburan, pengurangan tetap diberikan sebanyak 75 peratus mengikut nilai kompaun sebanyak RM2,500 atau RM25,000 menjadi RM625 atau RM6,250.

"Undang-undang kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MPPD) 2011, pengurangan diberikan sebanyak 80 peratus atau nilai kompaun sebanyak RM500 menjadi RM100.

"Bagi undang-undang kecil Kafe Siber (MPPD) 2010, pengurangan diberikan adalah sebanyak 80 peratus yang mana nilai kompaun sebanyak RM500 juga menjadi RM100," katanya.

Mohd Zamri berkata, tunggakan kompaun ini adalah sehingga 31 Disember 2020 yang membabitkan lebih kurang 47,494 bilangan kompaun yang sudah dikeluarkan mulai 2008 sehingga Disember 2020.

Menurutnya, orang awam boleh membayar kompaun dengan hadir ke kaunter bayaran MPPD dan juga secara atas talian melalui https://mybayaran.mppd.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 11:15 AM