TINJAUAN kibaran Jalur Gemilang. FOTO NADIM BOKHARI
TINJAUAN kibaran Jalur Gemilang. FOTO NADIM BOKHARI
Asrol Awang


SEBANYAK 25 premis perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dikompaun RM6,250, masing-masing RM250 setiap premis kerana gagal mengibarkan Jalur Gemilang.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 1983.

Katanya, tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap pemilik premis kerana tidak mematuhi syarat lesen.

"Penguatkuasaan dilaksanakan selepas notis serahan tangan diberikan pada 27 Julai lalu bagi arahan pemasangan Jalur Gemilang di premis perniagaan sempena Bulan Kemerdekaan bermula 15 Ogos hingga 14 September ini.

"Sehubungan itu, MPK mula menjalankan penguatkuasaan dengan mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis yang gagal mematuhi arahan selepas diberi masa lebih tiga minggu berbuat demikian.

"Jalur Gemilang hendaklah dikibar di bahagian hadapan premis perniagaan dan bukannya di tepi atau di belakang premis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Norkamawati berkata, sempena Minggu Kemerdekaan Malaysia ke-63, MPK menawarkan parkir percuma pada 24 Ogos lalu hingga 31 Ogos ini kepada pengguna yang memasang Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing.

Katanya, penguat kuasa MPK tidak akan mengeluarkan kompaun sekiranya pemilik kenderaan tidak meletakkan kupon parkir atau membeli caj parkir menerusi aplikasi PahangGo.

"Syarat utama bagi mereka yang ingin mendapatkan parkir percuma ialah memasang Jalur Gemilang pada kenderaan.

"Jalur Gemilang yang dipasang mesti masih baharu dan tidak koyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 2:29 PM