Zatul Iffah Zolkiply

@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Tiada sebarang isu ketenteraman awam dikesan walaupun negara kini berdepan dengan kemelut politik susulan perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keadaan kekal aman dan tiada sebarang isu ketenteraman awam dikesan setakat ini.

Menurutnya, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

"Setakat ini, kita perhatikan tidak ada isu ketenteraman awam. Pihak polis juga berharap orang ramai untuk terus kekal bertenang dan menunggu apakah juga keputusan akan dibuat nanti, Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Op Bantu ke rumah pesara polis di Kuala Nerus sempena Lawatan Kerjanya ke Kontinjen Terengganu, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pembekuan cuti pegawai dan anggota diambil sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU), Acryl Sani berkata, pembekuan itu bukan persiapan menghadapi PRU sebaliknya ia membabitkan pentadbiran di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebenarnya pihak polis sentiasa dikehendaki dalam keadaan bersiap sedia, jadi isu cuti ini sebenarnya lebih kepada pentadbiran sahaja.

"Dalam kita mendepani keadaan bersiap sedia tersebut tentu sekali kita akan mengetatkan dalam pemberian pelepasan cuti dan seumpamanya bagi memastikan tahap siap sedia itu sentiasa ditepati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:38 PM
ACRYL Sani (dua kanan) beramah mesra selepas menyampaikan bantuan kepada pesara polis, Jali Dawi, 69  yang menghidap penyakit lutut ketika menziarah di kediamanya, Taman Permint Perdana, Seberang Takir.  FOTO Ghazali Kori
ACRYL Sani (dua kanan) beramah mesra selepas menyampaikan bantuan kepada pesara polis, Jali Dawi, 69 yang menghidap penyakit lutut ketika menziarah di kediamanya, Taman Permint Perdana, Seberang Takir. FOTO Ghazali Kori