DATUK Seri Hamzah Zainudin menyempurnakan pemakaian pangkat pada Datuk Seri Acryl Sani  Abdullah Sani (dua dari kanan). FOTO ihsan KDN
DATUK Seri Hamzah Zainudin menyempurnakan pemakaian pangkat pada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (dua dari kanan). FOTO ihsan KDN
Rafidah Mat Ruzki


DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan Acryl Sani itu selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hamzah berkata, surat berkenaan diterima semalam dan hari ini adalah majlis pemakaian pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

"Hari ini kita letakkan pemakaian pangkat kepada Datuk Seri Acryl Sani dan ucapkan tahniah dan syabas kerana dinaikkan pangkat selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Timbalan Ketua Polis Negara," katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat, di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Semalam, Acryl Sani, 59, yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Bukit Aman, dilantik memangku jawatan berkenaan susulan persaraan wajib Datuk Mazlan Mansor hari ini.

Anak kelahiran Petaling Jaya itu memiliki kelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai kadet Asisten Superintendan (ASP).

Antara jawatan pernah disandangnya ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:27 PM