Keningau: Hasrat empat sahabat berlatih menggunakan senjata buatan sendiri jenis ‘ginsok’ di Kampung Tombotuan, Tambunan, dekat sini, kelmarin, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka terkena tembakan di kepala sehingga peluru timah ‘terlekat’ di otak.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, mangsa, Jelores Justine, 15, dikejarkan ke Hospital Tambunan, dekat sini, sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan dilaporkan dalam kritikal.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama tiga rakannya ke kawasan kebun getah di Kampung Tombotuan dengan membawa senjata buatan sendiri jenis ‘ginsok’ dipercayai untuk berlatih menembak.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan berjalan lebih 15 meter di hadapan rakan.

“Secara tiba-tiba, rakan mangsa terdengar bunyi letupan dan melihat dia terbaring berlumuran darah,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, mereka bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebelum menghantar mangsa ke Hospital Tambunan, dekat sini.

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan terdapat kesan peluru di otak.

“Mangsa kemudian dihantar ke HQE Kota Kinabalu bagi rawatan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Keningau Deputi Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mangsa kini dirawat di HQE Kota Kinabalu, dekat sini dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Polis sudah menemui senjata yang digunakan ketika kejadian dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas dua botol berisi timah dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:30 AM