GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Saipul Adli Mohamad dan Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perkhidmatan Awam negara tidak akan terjejas dengan kemelut politik yang melanda negara sebaliknya terus menggalas amanah dipertanggungjawabkan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia berikutan kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada.

Katanya, beliau melihat dan merasai sendiri bagaimana komitmen dan dedikasi pelbagai pihak terutama penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam memastikan usaha kerajaan membendung serta melandaikan keluk jangkitan Covid-19 yang diharungi bersama lebih setahun lalu.

"Penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

"Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa Perkhidmatan Awam sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa Kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zuki berkata, urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa manakala anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, segala usaha, bantuan dan inisiatif membabitkan peruntukan yang besar pula tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat, terutama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan pandemik Covid-19.

"Perkhidmatan Awam komited mendukung konsep 'neutrality' dan 'government of the day' berlandaskan 'rule of law.' Jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar ini," katanya.

Sementara itu, nada sama turut diluahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang mahu semua penjawat awam di seluruh negara melaksanakan tanggungjawab seperti biasa walaupun negara berdepan perubahan landskap politik ketika ini.

"Perubahan landskap politik semasa tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan awam adalah jentera dalam sistem pentadbiran negara dan ianya perlu ditadbir urus bagi membolehkan dasar dan program negara berjalan dengan lancar.

"Semua penjawat awam adalah diingatkan supaya tidak terbabit dengan polemik politik

semasa.

"Kita perlulah sentiasa berpegang kepada prinsip neutral dan tidak berpolitik. Kesetiaan penjawat awam adalah kepada raja, negara dan kerajaan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 4:59 PM