Abdul Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
Abdul Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tawaran Perdana Menteri kepada semua parti politik bagi mendapatkan kepercayaan untuk menyelesaikan masalah perlu diterima secara positif.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia ditawarkan selepas mengalami kemelut kerajaan dahulu yang bermasalah.

Katanya, parti politik di luar kerajaan sepatutnya memberi masa kepada kerajaan hari ini agar dapat menyelesaikan masalah bersama.

"Selepas keadaan mengizinkan, maka barulah kita kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahu dengan selesa.

"Janganlah disebabkan tidak boleh bersabar seketika, kita akan menerima padah dan masalah yang lebih besar dan lebih berat untuk dipikul," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan rakyat di seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang masih menular, keselamatan nyawa rakyat daripada bahaya wabak itu hendaklah diutamakan.

Menurutnya, perkara bersama yang bersifat kemanusiaan ini boleh menangguhkan pergeseran politik untuk mendapatkan kuasa.

"Kita dapat menilai bagi menerima kalangan mereka yang bersikap ingin menyelamatkan nyawa rakyat dan juga menolak kalangan mereka yang gila kuasa tanpa mempedulikan nyawa rakyat.

"Masalah ekonomi yang dihadapi kesan daripada pandemik Covid-19 yang membebankan semua rakyat tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik perlu diselesaikan secara perpaduan dan hendaklah diutamakan tanpa menghabiskan masa kerana mahukan kuasa semata-mata," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 11:55 AM